
KUALA LUMPUR | 27 Ogos 26 — Penurunan kadar kelahiran negara tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu pasangan muda yang tidak mahu mempunyai anak, sebaliknya perlu dikaitkan dengan kebimbangan mereka terhadap kemampuan menanggung kos membina dan membesarkan keluarga, kata Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).
Ketua Penerangan GERAKAN, Wendy Subramaniam berkata, golongan dewasa muda yang bekerja kini berdepan keputusan yang semakin sukar untuk berkahwin dan mempunyai anak apabila perlu mengambil kira kemampuan memiliki rumah, kos penjagaan anak, ketidakstabilan pendapatan, tuntutan pekerjaan serta peningkatan keseluruhan kos membesarkan keluarga.
“Bukan tak mahu anak, tetapi takut tak mampu membesarkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Wendy, kadar kenaikan gaji yang tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup, ditambah pula kos pusat penjagaan anak yang berkualiti, menyebabkan keputusan untuk membina keluarga menjadi semakin mencabar bagi golongan muda.
Beliau berkata, usaha kerajaan untuk melatih lebih ramai penjaga profesional sebagai sebahagian daripada usaha menangani penurunan kadar kesuburan adalah langkah yang baik, namun ia tidak mencukupi jika isu asas kemampuan keluarga tidak ditangani.
“Isu ini tidak boleh ditangani melalui peningkatan bilangan penjaga yang berkualiti,” katanya.
Wendy berkata, menambah bilangan pusat jagaan sahaja juga tidak menjamin ibu bapa akan menggunakan kemudahan tersebut kerana mereka perlu mempunyai keyakinan bahawa anak berada dalam jagaan yang selamat dan berkualiti.
Katanya, aspek seperti latihan dan kompetensi pengasuh, saringan latar belakang, nisbah pengasuh kepada kanak-kanak, pematuhan standard keselamatan serta pemantauan berterusan sama penting dengan penyediaan kemudahan fizikal.
Sehubungan itu, GERAKAN menggesa kerajaan menyediakan geran bersasar kepada majikan bagi mewujudkan atau mensubsidi pusat jagaan berdaftar di tempat kerja, termasuk pusat jagaan bersama di kawasan perindustrian dan hab pekerjaan utama.
Wendy turut mencadangkan supaya standard profesional dan keselamatan sektor penjagaan kanak-kanak dipertingkatkan melalui latihan serta pensijilan pengasuh, saringan latar belakang dan pematuhan nisbah pengasuh-kanak-kanak yang ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama memperkenalkan bantuan penjagaan anak atau pelepasan cukai bersasar berdasarkan pendapatan isi rumah, khususnya kepada keluarga muda dan golongan berpendapatan sederhana.
GERAKAN juga mahu dasar pekerjaan fleksibel dan mesra keluarga diperkukuh supaya ibu bapa dapat mengimbangi tanggungjawab pekerjaan dan keluarga tanpa menjejaskan perkembangan kerjaya, terutama wanita yang kembali bekerja selepas melahirkan anak.
Menurut Wendy, kerajaan tidak seharusnya melihat penurunan kadar kesuburan sekadar persoalan sama ada pasangan mahu mempunyai lebih ramai anak.
“Sekiranya kerajaan mahu dewasa muda lebih yakin untuk membina dan membesarkan keluarga, mereka mesti mempunyai kemampuan untuk membiayainya, akses kepada penjagaan yang berkualiti dan keyakinan bahawa anak-anak mereka berada dalam tangan yang selamat,” katanya.
Kenyataan itu secara tidak langsung mengalihkan tumpuan perbahasan kadar kelahiran daripada persoalan “mahu atau tidak mempunyai anak” kepada persoalan lebih asas — sama ada golongan muda benar-benar mempunyai kemampuan ekonomi untuk membina keluarga. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.