Menang Putrajaya Bukan Segalanya, Wawasan Negara Mahu Politik ‘Punya Roh’

KUALA LUMPUR | 28 Ogos 26 — Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) mahu perjuangan politiknya tidak berakhir dengan sekadar kemenangan pilihan raya atau kejayaan membentuk kerajaan di Putrajaya, sebaliknya mesti dipandu oleh nilai, moral dan prinsip yang menjadi asas kepada perjuangan parti.

Setiausaha Agung Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, gambaran besar atau big picture dalam perjuangan politik perlu disuluh oleh worldview atau pandangan alam yang benar supaya matlamat akhir tidak dijadikan alasan untuk menghalalkan cara yang bercanggah dengan undang-undang dan moral.

Menurutnya, gambaran besar dalam politik bersifat praktikal dan boleh berubah mengikut keadaan, manakala pandangan alam pula lebih mendalam kerana menjadi asas kepada cara seseorang atau sesebuah masyarakat memahami dunia, menentukan nilai serta membezakan antara yang benar dengan yang palsu dan antara keadilan dengan kezaliman.

“Jadi, worldview menyuluh dan memandu gambaran besar,” katanya dalam tulisan bertajuk Alam Penyuluh Perjuangan.

Saifuddin menjelaskan istilah yang lebih tepat bagi kerangka tersebut ialah ru’yat al-Islam li al-wujud atau pandangan tentang hakikat wujud, sebagaimana digunakan Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas, manakala istilah “pandangan alam” digunakan oleh murid kanannya, Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud.

Katanya, dalam konteks Wawasan Negara, gambaran besar perjuangan parti tercermin melalui beberapa gagasan dalam Falsafah Perjuangannya, antaranya menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan, memperjuangkan rakyat Malaysia, menjadi cerminan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, membina demokrasi yang matang serta membentuk Malaysia yang lebih baik berteraskan Konsensus Nasional Baharu.

Namun, Saifuddin berkata, kesemua gagasan itu tidak berdiri sendiri kerana ia disuluh oleh pandangan alam Islam, khususnya prinsip amar makruf nahi mungkar yang pernah diungkapkan Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Inilah asas kepada frasa ‘menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan’ dalam falsafah itu. Dan ini adalah roh (soul) perjuangan parti ini,” katanya.

Beliau turut memetik Surah Ali ‘Imran ayat 104 yang menyeru supaya sebahagian daripada umat manusia mengajak kepada kebaikan, menyuruh melakukan perkara makruf dan mencegah kemungkaran sebagai asas kepada perjuangan tersebut.

Pendirian itu membawa satu mesej politik yang jelas — Wawasan Negara mahu membezakan antara matlamat politik dengan cara untuk mencapai matlamat tersebut.

Saifuddin menegaskan parti itu bukan sekadar mahu mencapai kemenangan dan kecemerlangan di Putrajaya, tetapi mahu kemenangan tersebut dicapai melalui strategi yang berlandaskan undang-undang dan moral.

“Dan lebih penting lagi, parti ini inginkan kemenangan dan kecemerlangan yang punya roh,” katanya.

Pendekatan tersebut memperlihatkan usaha Wawasan Negara membina identiti politik yang tidak hanya berpusat kepada persoalan siapa yang memegang kuasa, tetapi turut menekankan persoalan untuk apa kuasa itu digunakan dan apakah prinsip yang membimbing penggunaannya.

Dalam erti kata lain, Putrajaya dilihat sebagai matlamat politik, tetapi “pandangan alam” menjadi kompas yang menentukan bagaimana perjalanan menuju ke sana harus dilaksanakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share