Sejuta Alumni UiTM Boleh Jana RM100 Juta Setahun Untuk Universiti – Sultan Selangor

SHAH ALAM | 29 Ogos 26 – Lebih sejuta alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpotensi menyumbang sehingga RM100 juta setahun kepada universiti itu sekiranya setiap seorang menyumbang sekurang-kurangnya RM100 setahun.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, satu sistem wajar dibangunkan bagi membolehkan alumni UiTM menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun sebagai tanda penghargaan terhadap institusi berkenaan.

Menurut baginda, jumlah tersebut tidak sepatutnya membebankan alumni, malah boleh menjadi satu bentuk pengorbanan bagi memastikan kelangsungan dan kemajuan UiTM.

“Beta percaya sumbangan RM10 sebulan itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu bentuk pengorbanan demi memastikan kelangsungan serta kemajuan UiTM,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, semalam.

Menurut laporan BERNAMA, dana yang berpotensi mencecah RM100 juta setahun itu bukan sahaja boleh digunakan untuk pembangunan UiTM, malah membantu pelajar baharu dan sedia ada yang berdepan kemiskinan serta kesukaran membiayai pendidikan.

Baginda berkata cadangan tersebut wajar dilihat berdasarkan kekuatan jaringan alumni UiTM yang kini telah melepasi angka sejuta orang.

“Hari ini, UiTM telah menjadi antara institusi pengajian tinggi terbesar di negara ini. UiTM kini melahirkan lebih 40,000 graduan setiap tahun, manakala jumlah keseluruhan alumninya telah melepasi angka sejuta,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mahu potensi besar jaringan alumni tersebut diperkasakan supaya memberikan impak yang lebih signifikan kepada universiti.

Baginda mengaitkan cadangan itu dengan slogan ‘UiTM Dihatiku’ yang sering dilaungkan pelajar, tenaga pengajar dan alumni, dengan menegaskan bahawa sokongan alumni perlu diterjemahkan dalam bentuk sumbangan nyata.

Pada masa sama, Sultan Selangor mengingatkan bahawa kejayaan UiTM tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan jumlah pelajar, graduan atau alumninya.

Sebaliknya, titah baginda, ukuran sebenar kejayaan UiTM ialah sejauh mana institusi itu berjaya mengubah kehidupan anak Melayu dan Bumiputera, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, melalui pendidikan.

Baginda mahu UiTM terus memainkan peranan sebagai pintu mobiliti sosial kepada anak Melayu dan Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah serta kawasan luar bandar.

“Anak seorang petani, nelayan, pemandu, pekerja kilang atau keluarga miskin di kampung mesti terus diberi keyakinan bahawa sekiranya mereka mempunyai kebolehan dan kesungguhan untuk mencapai ketinggian ilmu, UiTM akan menyediakan jalan untuk mereka mengubah masa hadapannya.

“Itulah roh perjuangan UiTM yang tidak seharusnya hilang,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa ramai graduan UiTM kini berada dalam hampir setiap sektor, termasuk bidang profesional, perniagaan, perkhidmatan awam, korporat, seni dan media.

Baginda berkata sebahagian alumni telah menerajui organisasi besar, membina perniagaan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.

“Inilah antara ukuran sebenar kejayaan UiTM, bukan sekadar pada jumlah pelajar, graduan atau alumninya, tetapi pada sejauh mana institusi ini telah mengubah kehidupan anak bangsa dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara,” titah baginda. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share