
LANGKAWI | 31 Ogos 26 — Parti Wawasan Negara menolak cadangan untuk memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke Melaka dan menggesa Kerajaan Persekutuan memberi komitmen jelas supaya acara berprestij itu terus dianjurkan di Langkawi.
Ketua Bahagian Wawasan Negara Langkawi merangkap Naib Presiden parti, Datuk Mohd Omar Mustapha berkata, LIMA bukan sekadar acara yang diadakan di Langkawi, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada identiti pulau itu serta aset strategik dan ekonomi yang dibangunkan selama lebih tiga dekad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Melaka hari ini bahawa kerajaan sedang meneroka kemungkinan menganjurkan LIMA di Melaka sekiranya Langkawi pada masa hadapan dianggap tidak lagi sesuai.
Menurut Mohd Omar, alasan berkaitan kesukaran orang ramai untuk hadir ke Langkawi tidak seharusnya dijadikan asas untuk memindahkan LIMA kerana isu tersebut sebenarnya berkaitan akses dan infrastruktur yang berada dalam bidang tanggungjawab kerajaan untuk diselesaikan.
“Jika perkhidmatan feri tidak menentu, perbaikinya. Jika kapasiti penerbangan tidak mencukupi, tambahkannya. Jika kemudahan pulau perlu dinaik taraf, laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, memindahkan LIMA kerana masalah akses hanya bermakna kerajaan memindahkan akibat sesuatu masalah tanpa menyelesaikan puncanya.
Mohd Omar turut menegaskan bahawa LIMA ialah pameran perdagangan dan strategik antarabangsa yang menghimpunkan kerajaan, angkatan tentera, pemain industri aeroangkasa dan maritim, pelabur serta delegasi antarabangsa.
Katanya, kedudukan Langkawi yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa, ruang udara terkawal, perairan terbuka dan kemudahan pameran khusus merupakan antara faktor yang menjadikan pulau itu sesuai sebagai lokasi LIMA.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa pemindahan LIMA boleh memberi kesan kepada ekosistem ekonomi tempatan yang telah terbina di Langkawi, termasuk sektor perhotelan, pengangkutan, perniagaan kecil dan perkhidmatan pelancongan.
“Persoalan yang wajar ditanya oleh Kerajaan ialah bagaimana nilai ekonomi LIMA boleh diperluaskan kepada lebih ramai penduduk Langkawi, bukan bagaimana laba itu boleh dipindahkan ke negeri lain,” katanya.
Mohd Omar berkata Melaka berhak membangunkan acara maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa sendiri, namun pembangunan negeri itu tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan aset yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Langkawi.
Beliau turut menggesa kerajaan memberi komitmen bahawa LIMA akan kekal di Langkawi, selain memperkukuh infrastruktur, akses dan manfaat ekonomi acara berkenaan kepada penduduk tempatan.
“LIMA lahir di Langkawi, membesar bersama Langkawi dan dikenali dunia dengan nama Langkawi. Ia patut kekal di tempat yang memberikan namanya,” katanya.
Parti Wawasan Negara, tambah beliau, memberi komitmen bahawa LIMA akan terus kekal di Langkawi sekiranya parti itu menganggotai Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.