
KUALA LUMPUR | 31 Ogos 26 — Bekas Ahli Parlimen DAP, Dr. Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parti itu berkuat kuasa hari ini, selepas 14 tahun bersama DAP.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Ong berkata beliau tidak merancang menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kian Meng menyertai DAP pada 2012 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.
Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2018 hingga 2020, selain menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP serta Jawatankuasa Negeri DAP Selangor.
Dalam kenyataannya, Kian Meng merakamkan penghargaan kepada beberapa pemimpin DAP termasuk Tony Pua yang mengajaknya menyertai parti itu, serta Lim Guan Eng yang memberinya peluang untuk bertanding di Serdang dan Bangi selain dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Namun, perkembangan paling menarik ialah keputusan Kian Meng untuk terus memainkan peranan dalam arena politik walaupun tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti.
Beliau menegaskan komitmennya untuk menunaikan janji yang dibuat pada 10 Januari lalu bagi membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16 sekiranya Khairy diberikan kerusi untuk bertanding.
“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.
Kian Meng berkata beliau akan meneruskan usaha menyumbang kepada negara melalui podcastnya, “Are We OK”, beberapa jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan dan pandangan yang sama.
Peletakan jawatan itu diumumkan bersempena sambutan Hari Merdeka hari ini.
“Selamat Hari Merdeka!” katanya mengakhiri kenyataan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.