PRN Melaka: Wawasan Mahu Pertahan Bemban, Sungai Udang

MELAKA | 12 Okt 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mahu mempertahankan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bemban dan Sungai Udang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, parti itu masih mengadakan rundingan pembahagian kerusi bersama parti-parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) dan tidak bercadang bertanding secara solo.

“Kita bersedia untuk bertanding. Berapakah jumlah kerusinya itu belumlah kita pastikan. Namun demikian, tentulah kita berhasrat sekurang-kurangnya apa yang ada dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Meja Bulat Wawasan Baru Melaka di Ayer Keroh.

Saifuddin berkata, rundingan turut melibatkan PAS, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Mengenai penggunaan logo dalam PRN Melaka, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada hasil rundingan yang masih berlangsung.

“Pada waktu yang sama, kita tahu apa pun keadaannya, tak mungkin boleh bertanding solo. Mengenai logo juga ia bergantung kepada keputusan rundingan yang masih berjalan,” katanya.

Menurut beliau, Wawasan tidak mendedahkan butiran rundingan kepada umum buat masa ini kerana proses berkenaan masih berjalan, selain masih terdapat masa sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Wawasan juga sudah mempersiapkan jentera pilihan raya dan merangka manifesto berdasarkan perbincangan serta pandangan yang dikumpulkan menerusi sidang meja bulat berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata parti itu turut menyediakan pelan alternatif sekiranya mahkamah tidak membenarkan PN menggunakan nama dan logo pada pilihan raya tersebut.

“Apa pun keputusan mahkamah, kita ada pelan B bagaimana kita meneruskan usaha untuk mewakili suara rakyat dalam DUN Melaka,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share