Tidak Dihalang, Bekas PM Boleh Mohon Hadir Sambutan Hari Kebangsaan – Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA | 1 Sep 26 – Bekas Perdana Menteri tidak dihalang menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan, namun jemputan kepada mereka tidak lagi dibuat secara automatik sejak 2018, menurut Kementerian Komunikasi.

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan berhubung ketidakhadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Menurut Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026, berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan jemputan bagi acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi sambutan berkenaan.

“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.

“Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” menurut kenyataan media itu.

Dalam pada itu, Urus Setia berkata pihaknya turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Mahathir berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.

Penjelasan berkenaan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 turut merakamkan penghargaan atas perhatian dan pemahaman semua pihak berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, kehadiran Bekas Perdana Menteri itu di perayaan sambutan kemerdekaan di Putrjaya mencuri perhatian apabila hadir bersama ribuan orang awam bagi menyaksikan sambutan berkenaan, malah turut beramah mesra dan bergambar dengan pengunjung

Mahathir, 101, yang hadir dengan kerusi roda elektrik dilihat melambaikan tangan kepada orang ramai selain menyantuni mereka yang datang bersalaman dan berswafoto dengannya. Detik berkenaan turut dikongsikan menerusi siaran langsung di akaun TikTok @chedetofficial. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Hassan Karim Desak SOSMA Dimansuhkan

“Kita berjanji dalam manifesto… apa juga undang-undang drakonian kita akan mansuhkan. Inilah masa. Ada dua tahun lagi kita di dalam Parlimen, kalau kita tidak mansuhkan ini, bermakna kita sama-sama, termasuk saya, gagal melaksanakan reformasi yang sebenarnya.”
Read More
Total
0
Share