
KUALA LUMPUR, 26 Jun 25 – Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memberi amaran kepada pihak yang cuba mengheret polemik perkauman terhadap perkhidmatan ketenteraan.
Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd Nor menegaskan, tentera berkhidmat tanpa mengira latar belakang anggotanya.
“Tiada apa perlu dipersoalkan berhubung leftenan jeneral berketurunan Cina yang pertama, kerana tentera adalah perkhidmatan tidak mengira latar belakang bangsa.
“Jika seseorang itu berkebolehan dan layak, apa salahnya dinaikkan pangkat? Ia tidak perlu dipersoalkan,” tegasnya.
Bekas ketua perisikan tentera darat itu turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mencetus polemik membabitkan perkhidmatan keselamatan negara berkenaan.
“Jangan ada mana-mana pihak yang melatah dan cuba mencetuskan kritikan atau polemik, termasuk membuat kenyataan yang menjurus kepada isu politik atau perkauman.
“Jangan kaitkan tentera dengan politik dan sentimen perkauman,” tegas wakil rakyat Bersatu itu lagi.
Tanpa menyebut mana-mana pihak, kenyataan beliau dipercayai merujuk hantaran Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad yang memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.
Turut disertakan dalam hantaran itu adalah gambar penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Johnny Lim Eng Seng, dengan keterangan ia sekadar hiasan.
Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.
Zaharuddin yang juga menantu kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun dalam penjelasannya berkata hantaran itu diputar belit. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.