
KUALA LUMPUR | 1 Sep 26 – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh terus mentadbir negara secara “ad hoc” dan “touch-and-go”, sebaliknya perlu memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mempunyai hala tuju yang jelas dan konsisten.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat dan pihak industri memerlukan dasar yang stabil serta berpandangan jauh, bukannya keputusan yang berubah-ubah selepas sesuatu dasar dilaksanakan.
“Saya menyokong semua ikhtiar yang memberi manfaat kepada rakyat. Peningkatan jumlah asas BUDI, pertambahan peruntukan sekolah, peruntukan latihan AI, pembaikan sistem rekod kesihatan, pembaikan ambang pengecualian e-Invois dan pembiayaan mikro peniaga kecil, semuanya adalah perkara baik yang memang kita tuntut untuk kebaikan rakyat.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh terus tadbir negara secara ad hoc dan touch-and-go. Dasar-dasar pentadbiran tidak boleh berubah-ubah secara semberono sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Wan Saiful berkata, isu subsidi BUDI menjadi antara contoh yang menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dasar kerajaan apabila kuota ditingkatkan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan angka berkaitan penggunaan petrol yang dinyatakan Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat dengan jumlah penerima manfaat yang diumumkan Perdana Menteri.
“Menteri Kewangan II berkata dalam Dewan Rakyat bahawa kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan.
“Tetapi dalam ucapan PMX, beliau berkata 16 juta pengguna akan menikmati faedah ini. Mana satu data yang betul?” katanya.
Menurut Wan Saiful, peningkatan kuota BUDI daripada 200 liter kepada 300 liter secara tiba-tiba boleh dilihat sebagai pengakuan bahawa formula asal kerajaan perlu diperbetulkan.
Selain BUDI, beliau turut membangkitkan perubahan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Katanya, perubahan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kos yang telah ditanggung peniaga kecil untuk mematuhi ketetapan sebelum ini.
“Berapa banyak telah dibazirkan oleh peniaga kecil untuk mematuhi ambang RM1 juta sebelum ini?
“Ketidaktentuan sebegini merosakkan ekosistem perniagaan dan menunjukkan bahawa kerajaan tidak mesra peniaga,” katanya.
Wan Saiful berkata, isu BUDI dan e-Invois hanya dua contoh daripada beberapa dasar kerajaan yang menurutnya menunjukkan keperluan kepada pendekatan pentadbiran yang lebih konsisten.
“Rakyat dan pihak industri mahukan dasar yang konsisten serta berpandangan jauh, bukannya pengumuman gopoh untuk dijadikan gula-gula politik dan pilihan raya,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.