Mahathir: Jangan Kata Anak Muda Tak Hargai Kemerdekaan

PUTRAJAYA | 1 Sep 26 – Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal tanggapan bahawa golongan anak muda hari ini tidak menghargai kemerdekaan, berdasarkan pemerhatiannya terhadap sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau gembira melihat sambutan rakyat terhadap Perarakan Merdeka di Putrajaya masih hangat, termasuk penyertaan golongan muda daripada pelbagai kaum.

“Saya ke Merdeka Parade Putrajaya untuk lihat sambutan oleh rakyat.

“Saya gembira kerana sambutan masih hangat (betul-betul hangat),” katanya menerusi catatan di media sosial.

Menurut Mahathir, pemerhatiannya di lokasi mendapati ramai anak muda Melayu, Cina dan India turut hadir menyaksikan perarakan berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menolak sangkaan bahawa generasi muda tidak lagi menghargai kemerdekaan negara.

“Tak benar sangkaan kononnya anak muda tidak hargai merdeka.

“Saya lihat ramai anak muda Melayu, Cina dan India dalam barisan pemerhati,” katanya.

Mahathir berkata, wajah ceria golongan muda yang hadir menunjukkan mereka benar-benar menghayati sambutan kemerdekaan.

“Muka mereka ria dan jelas mereka sedang sambut kemerdekaan seolah-olah mereka baru merdeka selepas dijajah,” katanya.

Beliau berkata, semangat patriotik seperti itu penting untuk memastikan kelangsungan negara pada masa hadapan.

“Semangat seperti ini akan kekalkan negara.

“Tidak ada yang lebih mulia dari mempertahankan negara tercinta,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu hadir ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang menyaksikan rakyat daripada pelbagai latar belakang memenuhi lokasi sambutan, termasuk golongan anak muda.

Pemerhatian beliau turut memberikan gambaran bahawa semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda masih wujud dan terus menjadi antara kekuatan penting dalam mempertahankan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share