PAS Utamakan Penyatuan Ummah Demi Masa Depan Negara – ADUN Sura

KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menegaskan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak seharusnya dilihat secara sempit, sebaliknya perlu difahami dalam konteks usaha lebih besar untuk membina semula kesatuan politik Melayu-Islam.

Menurut beliau, ramai pihak ketika ini terlalu tertumpu kepada aspek perpisahan antara PAS dan BERSATU, sedangkan mesej utama yang dibawa oleh kenyataan PAS Pusat adalah pembentukan hala tuju politik baharu yang lebih luas dan inklusif.

“PAS bukan sekadar menutup satu pintu, tetapi sedang membuka beberapa pintu yang lebih besar demi masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, langkah PAS membuka ruang kepada persefahaman politik dan pakatan pilihan raya dengan pelbagai pihak menunjukkan komitmen parti itu terhadap agenda Penyatuan Ummah yang diperjuangkan sejak sekian lama.

Selain itu, PAS turut memberi isyarat kesediaan untuk bekerjasama dengan golongan akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat bagi memperkukuhkan gerakan yang lebih menyeluruh.

Menurut Dr Tengku Fakhruddin, keputusan tersebut mungkin bukan langkah yang popular dalam jangka pendek, namun sejarah menunjukkan bahawa perubahan besar sering bermula dengan keputusan yang sukar dan berani.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam suasana politik yang semakin dinamik, beliau berkata pertambahan pengundi baharu, perubahan demografi dan kemungkinan peningkatan kadar keluar mengundi bakal mengubah landskap persaingan di banyak kawasan.

“Dalam keadaan ini, pertembungan sesama parti Melayu-Islam hanya akan menguntungkan pihak lain,” katanya.

Beliau berpandangan PAS sedang melihat isu yang lebih besar daripada sekadar satu pilihan raya, iaitu kesan perpecahan politik Melayu-Islam yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bagaimana ia telah mengecilkan pengaruh politik umat.

“Atas sebab itu PAS memilih untuk kembali kepada prinsip asas yang diperjuangkannya sejak dahulu, iaitu Penyatuan Ummah,” katanya.

Dr Tengku Fakhruddin turut menegaskan bahawa PAS telah menunjukkan kesungguhan terhadap agenda tersebut melalui tindakan yang diambil, sekali gus meletakkan kepentingan umat dan negara mengatasi pertimbangan politik jangka pendek.

“Persoalannya hari ini bukan lagi sama ada PAS serius atau tidak. PAS telah membuktikan keseriusannya melalui tindakan.

“Yang menjadi persoalan sekarang ialah sama ada pihak lain mempunyai keberanian politik yang sama untuk mengetepikan perbezaan demi menjayakan agenda penyatuan,” katanya.

Beliau menambah bahawa rakyat akhirnya akan menilai bukan berdasarkan retorik atau slogan politik, tetapi melalui kesediaan pemimpin dan parti-parti politik untuk berkorban demi mencapai kesepakatan yang lebih besar.

“Sejarah sentiasa memihak kepada mereka yang berani meletakkan kepentingan umat mengatasi kepentingan parti,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share