Analisis: KKDW dan Perbendaharaan Beri Penjelasan Berbeza — Apa Sebenarnya Berlaku?

Isu kelewatan bayaran kepada kontraktor projek jalan luar bandar kini bukan lagi sekadar soal tunggakan bayaran.

Ia berkembang menjadi persoalan mengenai bagaimana peruntukan, komitmen projek dan kelulusan kewangan kerajaan diurus, selepas Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberikan penjelasan yang berbeza.

Segalanya bermula apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 1 September membangkitkan isu kelewatan bayaran kepada kontraktor yang telah melaksanakan kerja.

Zahid meluahkan rasa tidak puas hati kerana kelewatan itu menjejaskan aliran tunai kontraktor sehingga ada yang menghadapi masalah dengan pembekal dan subkontraktor. Beliau turut berkata, “KKDW disalahkan, tetapi puncanya orang lain”, seperti dilaporkan media.

Pada hari sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut mempersoalkan mengapa hampir RM1 bilion yang didakwa telah diluluskan dan dibajetkan untuk projek KKDW masih belum disalurkan. Persoalan Akmal kemudiannya mendapat jawapan daripada Perbendaharaan.

Versi Perbendaharaan

Pada 2 September, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, menjelaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.

Menurut MoF, masalah pembayaran berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah hampir keseluruhannya dibelanjakan.

Perbendaharaan turut mendedahkan angka peruntukan berbanding perbelanjaan yang menunjukkan perbelanjaan projek jalan luar bandar lebih tinggi daripada peruntukan tahunan pada beberapa tahun.

Pada 2023, misalnya, RM1.1 bilion diperuntukkan tetapi RM1.8 bilion dibelanjakan. Pada 2024, peruntukan RM1.3 bilion berbanding perbelanjaan RM2 bilion, manakala pada 2025, RM1.6 bilion diperuntukkan berbanding RM2.3 bilion perbelanjaan.

MoF turut memaklumkan kerajaan meluluskan RM300 juta bagi 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor.

Jika dibaca secara mudah, gambaran Perbendaharaan ialah masalah timbul kerana komitmen dan perbelanjaan projek meningkat melebihi peruntukan tahunan. Tetapi KKDW tidak menerima gambaran itu.

Versi KKDW

KKDW melalui Setiausaha Akhbar Menteri, Fadzmel Fadzil, mempertikaikan penggunaan istilah bahawa kementerian “berbelanja melebihi peruntukan”.

Menurut beliau, sistem kewangan kerajaan dan iGFMAS tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan secara sewenang-wenangnya melebihi peruntukan yang diluluskan.

KKDW juga memberikan konteks yang tidak disebut dalam penjelasan MoF, iaitu sebahagian projek telah mempunyai Surat Setuju Terima dan mewujudkan obligasi kontrak antara 2019 hingga 2021.

Pelaksanaan sesetengah projek terganggu akibat pandemik COVID-19 dan apabila projek diteruskan, tuntutan pembayaran turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

Atas sebab itu, menurut KKDW, angka peruntukan dan perbelanjaan tahunan tidak boleh dilihat secara terasing daripada komitmen kontrak yang telah wujud sejak tahun-tahun sebelumnya.

KKDW juga mempertikaikan istilah “peruntukan tambahan” bagi RM300 juta itu. Menurut kementerian tersebut, ia bukan peruntukan tambahan baharu, sebaliknya diperlukan untuk memenuhi komitmen dan tunggakan daripada tahun-tahun sebelumnya.

Jadi, siapa sebenarnya bercanggah?

Menariknya, kedua-dua pihak tidak mempertikaikan bahawa terdapat masalah bayaran kepada kontraktor. Perbezaannya ialah bagaimana masalah itu berlaku.

MoF menekankan kedudukan peruntukan dan perbelanjaan tahunan. KKDW pula menekankan komitmen kontrak yang telah terbentuk sejak tahun-tahun sebelumnya.

Akmal pula mengambil sudut yang berbeza. Dalam kenyataan terbaharunya pada 3 September, beliau menegaskan bahawa projek pembangunan kementerian perlu melalui proses kelulusan kerajaan dan sekiranya berlaku perbelanjaan melebihi jumlah asal, ia juga memerlukan kelulusan MoF.

Hujah itu membawa isu ini kembali kepada persoalan asas iaitu jika komitmen tersebut melalui proses kelulusan kerajaan, bagaimana ia akhirnya menghasilkan tunggakan yang menyebabkan kontraktor tidak dibayar?

Persoalan yang masih tak terjawab

Di sinilah isu ini menjadi lebih besar daripada sekadar RM300 juta. Adakah masalahnya kekurangan peruntukan? Atau projek terdahulu menghasilkan komitmen yang dibawa ke tahun berikutnya?

Atau berlaku ketidakselarasan antara peruntukan tahunan dengan komitmen kontrak yang sudah diluluskan? Atau mungkin terdapat kelewatan pada peringkat agensi pelaksana sebelum bayaran sampai kepada kontraktor?

Buat masa ini, Perbendaharaan telah mengemukakan angka. KKDW pula memberikan konteks dan mempertikaikan tafsiran terhadap angka tersebut. Akmal pula mempersoalkan proses kelulusan dan penyaluran.

Justeru, isu sebenar bukan soal siapa menyalahkan siapa. Persoalan yang lebih penting ialah – di mana sebenarnya berlaku kepincangan dalam rantaian peruntukan, komitmen dan pembayaran sehingga kontraktor yang sudah melaksanakan kerja masih menunggu bayaran?

Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa tatakelola antara kementerian dan jabatan tidak berada dalam satu naratif yang sama. Apakah masalah sistem? Bagi rakyat biasa, adalah agak mustahil maklumat kementerian tidak seiring dengan data dari perbendaharaan.

Jawapan kepada soalan itu akan menentukan sama ada masalah ini sebenarnya masalah duit yang tidak cukup, komitmen yang terlalu besar, atau sistem pengurusan projek dan pembayaran yang tidak selari. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share