Mahathir Pertahan LIMA, Kata Jenama Antarabangsa Itu Masih ‘Laku’

Foto – edrmagazine.eu

KUALA LUMPUR | 4 Sep 26 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) wajar dikekalkan kerana ia sudah berjaya dibangunkan sebagai jenama yang mempunyai penerimaan di peringkat antarabangsa.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan untuk memberhentikan LIMA di Langkawi bukan semata-mata menyentuh soal perasaan, sebaliknya perlu dilihat dari sudut nilai serta kedudukan jenama berkenaan yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, usaha yang dilakukan selama ini telah menjadikan LIMA satu jenama yang dikenali di peringkat antarabangsa.

“Maknanya, kita sudah berusaha berpuluh tahun untuk menaikkan brand atau jenama LIMA di peringkat antarabangsa dan pada asasnya ia diterima,” katanya dalam tulisan bertajuk ‘LIMA’ yang diterbitkan di laman sesawang rasminya, semalam.

Mahathir berkata, antara bukti penerimaan terhadap LIMA ialah kehadiran syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa pada pameran berkenaan.

Katanya, sekiranya terdapat kelemahan dalam penganjuran LIMA, perkara itu sepatutnya diperbaiki dan bukannya menghentikan pameran tersebut.

“Buktinya ialah kehadiran syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa.

“Jika kita dapati ada kekurangan dalam LIMA, maka kita perbaiki,” katanya.

Pada masa sama, Mahathir berkata sekiranya terdapat keperluan untuk menganjurkan pameran lain yang lebih khusus dan tidak dapat ditampung menerusi LIMA, pameran berkenaan boleh diadakan secara berasingan.

“Jika ada keperluan besar untuk ada pameran lain yang berkaitan tetapi tidak mampu ditampung oleh LIMA, adakan pameran lain yang lebih targeted,” katanya.

Pandangan itu disampaikan Mahathir pada 3 September 2026, susulan cadangan berkaitan masa depan penganjuran LIMA di Langkawi.

Pandangan Mahathir itu hadir ketika Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menyatakan Melaka, khususnya Klebang, berpotensi menjadi lokasi alternatif kepada Langkawi bagi penganjuran LIMA pada masa akan datang.

Khaled berkata faktor akses darat, udara dan laut menjadikan Melaka mempunyai kelebihan berbanding Langkawi, selain mengakui penganjuran LIMA memerlukan pelaburan yang sangat besar.

Namun, Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha sebelum ini turut menolak cadangan untuk memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke Melaka dan menggesa Kerajaan Persekutuan memberi komitmen jelas supaya acara berprestij itu terus dianjurkan di Langkawi.

Menurut Omar, alasan berkaitan kesukaran orang ramai untuk hadir ke Langkawi tidak seharusnya dijadikan asas untuk memindahkan LIMA kerana isu tersebut sebenarnya berkaitan akses dan infrastruktur yang berada dalam bidang tanggungjawab kerajaan untuk diselesaikan.

“Jika perkhidmatan feri tidak menentu, perbaikinya. Jika kapasiti penerbangan tidak mencukupi, tambahkannya. Jika kemudahan pulau perlu dinaik taraf, laksanakan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share