MCA Perlu Jadi Suara Semak Dan Imbang Dalam BN

KUALA LUMPUR | 6 Sep 26 – Parti MCA melihat kedudukannya yang tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sebagai ruang untuk parti itu memainkan peranan lebih bebas sebagai suara semak dan imbang, termasuk dalam Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, kedudukan berkenaan membolehkan MCA menyuarakan pandangan secara lebih kritikal berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dibebani kepentingan jawatan.

“Jadi, ia adalah dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang anda boleh lihat semak dan imbang datang daripada MCA kerana kita tiada apa-apa untuk hilang dan tiada jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu dalam Naratif PN-BN” di sini, semalam.

Turut menjadi panel ialah penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhi Wei dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Riche Huan.

Menurut Choo Seong, pendekatan tersebut juga sebahagian daripada usaha MCA di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, untuk membina semula kekuatan parti dan mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

“Kita sentiasa sangat kritikal, kita memberikan pandangan berdasarkan suara kaum dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, MCA perlu kembali berpijak pada realiti dan mendengar suara akar umbi sekiranya mahu kekal relevan dalam landskap politik negara.

“Malah, itu juga yang telah menjadi satu panduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; kita mahu membina semula parti, kita mahu regain (mendapatkan semula) kepercayaan daripada publik.

“Jadi, kita harus kembali kepada realiti,” katanya.

Dalam pada itu, Choo Seong menegaskan bahawa meskipun MCA memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Cina, termasuk dalam isu pendidikan dan sekolah vernakular, parti itu tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial sedia ada.

Beliau turut mengingatkan pemimpin politik supaya tidak “menunggang” isu kaum dan agama demi kepentingan politik sempit kerana rakyat, katanya, semakin sedar terhadap masalah yang mereka hadapi.

“Jangan menunggang agama, menunggang isu kaum, kerana rakyat sudah berubah. Mereka sudah tahu sekarang mereka sedang mengalami kesusahan, mahukan sebuah kerajaan yang lebih baik, lebih prihatin.

“Maka, itulah peranan pemimpin-pemimpin politik, bukan sahaja menawarkan harapan tetapi merealisasikan apa yang diperlukan untuk kebaikan semua,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share