
KUALA LUMPUR, 24 NOV 25– Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, jelas kelihatan gembira ketika berpeluang bertemu secara tidak dijangka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Seletar petang tadi.
Pertemuan ringkas tetapi penuh mesra itu berlaku sebelum TYT dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berlepas pulang ke Kuching. Kedua-dua pasangan bertemu di ruang berlepas secara kebetulan, dan TYT dilihat tersenyum serta menyambut tangan Tun Mahathir dengan penuh hormat dan kegembiraan.
Dalam pertemuan itu, mereka saling bertanya khabar. Tun Mahathir kelihatan berada dalam keadaan sihat, manakala Tun Dr Siti Hasmah difahamkan menghadapi sedikit masalah penglihatan. Pasangan itu berada di Singapura untuk menghadiri program perjumpaan alumni.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut menzahirkan doa serta harapan agar Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan. @politiko.com
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.