Tandatangan MB, Ikrar Taat Setia MB Cetus Persoalan

SEREMBAN | 9 Sep 26 – Pendedahan dokumen yang didakwa mengandungi tandatangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar beliau dalam kemelut institusi diraja negeri itu.

Kemelut bermula pada 19 April 2026 apabila Undang Yang Empat mendakwa membuat proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz daripada kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berdasarkan Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Mereka kemudian mengumumkan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak diiktiraf kerajaan negeri dan kesahan proklamasi berkenaan terus menjadi pertikaian.

Kemelut kembali memuncak apabila Undang Yang Empat pada 5 September mendakwa proklamasi yang dibuat pada April itu telah lengkap selepas surat cara berkaitan ditandatangani, termasuk oleh Menteri Besar pada 3 Ogos.

Menurut dokumen yang didedahkan mereka, Ismail didakwa menurunkan tandatangan atas kapasitinya sebagai Menteri Besar bagi memenuhi kehendak Perkara 10(2) UUTKNS.

Pada 6 September, bagaimanapun, Ismail tampil dengan pendirian berbeza apabila menegaskan beliau bersama Kerajaan Negeri Sembilan memberikan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sehari kemudian, Undang Yang Empat menegaskan proklamasi penurunan takhta itu perlu dikuatkuasakan serta-merta, dengan mendakwa tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos telah melengkapkan proses berkenaan.

Pada malam 8 September, tiga Undang tampil dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar dan menunjukkan kepada media dokumen yang didakwa mengandungi tandatangan Ismail.

Dalam perkembangan sama, Ismail menerusi kenyataan berasingan menafikan dakwaan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz.

Namun, apabila ditanya oleh media mengenai dakwaan tandatangannya pada surat cara berkenaan, Ismail memilih untuk tidak memberikan penjelasan.

“Tak ada nak komen,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Seremban.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan: apakah kedudukan sebenar tandatangan Ismail pada dokumen bertarikh 3 Ogos itu, dan bagaimana ia harus dilihat bersama ikrar taat setia beliau kepada Tuanku Muhriz pada 6 September. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share