UMNO Dakwa PH Pertikai Kuasa Pengampunan Agong

KUALA LUMPUR | 9 Sep 26 – UMNO mendakwa pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan rasuah seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.

“UMNO kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan yang seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan KDYMM Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa pengampunan ini adalah hak prerogatif Baginda yang termaktub jelas di dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pendirian itu susulan kenyataan PH yang menegaskan bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh yang ditetapkan mahkamah.

PH turut menyatakan prinsip kedaulatan undang-undang menuntut prosiding kehakiman yang sedang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara bebas dan teratur.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi mempersoalkan mengapa piawaian berbeza perlu dikenakan terhadap pihak lain jika PH sebelum ini boleh menyokong pengampunan yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau masih belum selesai menjalani hukuman.

“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya.

Menurutnya, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut sebarang keputusan tertentu.

“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula secara terbuka membantah kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipindahkan dari penjara untuk menjalani baki hukuman di sebuah banglo sebagai tahanan rumah.

Naib Presiden MUDA, Zarul Afiq berkata, tiada kompromi terhadap hukuman penjara Najib kerana prinsip keadilan menuntut tiada sesiapa berada di atas undang-undang tanpa mengira kuasa atau kedudukan.

“Prinsipnya jelas — tiada layanan dua darjat. Undang-undang dan hukuman mesti dilaksanakan secara adil tanpa mengira seseorang itu bekas perdana menteri, ahli politik berpengaruh atau rakyat biasa,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang dilihat memberikan keistimewaan kepada individu tertentu berisiko menghakis kepercayaan rakyat terhadap demokrasi, institusi negara dan keluhuran Perlembagaan.

“Lebih membimbangkan, keadaan seperti ini akan membuatkan anak muda semakin hilang kepercayaan terhadap politik. Mereka akan bertanya: kalau keadilan boleh berbeza mengikut siapa kita, apa gunanya demokrasi?” katanya.

Zarul mengulas laporan bahawa permohonan baharu Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah bakal dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Lembaga berkenaan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Najib sebelum ini menerima pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta melalui keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024.

Asyraf Wajdi pada masa sama mendakwa pendirian PH itu menyerlahkan “warna sebenar” gabungan berkenaan yang menurutnya sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

Dakwaan itu, katanya, bercanggah dengan prinsip dan syarat yang telah dipersetujui bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda.

“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.

Perkembangan itu menjadikan isu pengampunan dan kemungkinan tahanan rumah Najib semakin menjadi pertikaian politik, dengan PH menekankan prinsip hukuman dan kedaulatan undang-undang, MUDA membantah sebarang layanan istimewa, manakala UMNO menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan perlu dihormati serta tidak didahului oleh tekanan politik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share