Ahmad Maslan Syor Kerjasama BN-PN Diteruskan Pada PRN Melaka

MELAKA | 7 Ogos 26 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) wajar diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan pengalaman yang dilalui di Johor sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pandangan tersebut adalah pendirian peribadinya dan bukannya keputusan rasmi parti.

“Saya bukan lagi setiausaha agung yang boleh membuat keputusan dalam kenyataan-kenyataan. Pada pandangan saya, pada pandangan peribadi saya, setelah berjaya separuh persefahaman di negeri Johor, saya kira ia perlulah diteruskan di Melaka,” katanya kepada media.

Menurut Ahmad, persefahaman di Johor dianggap sebagai “separuh persefahaman” kerana terdapat 11 kerusi yang ditandingi PN atas nama gabungan itu sendiri, namun penyokong kedua-dua pihak tetap memberikan sokongan di kawasan yang tidak ditandingi.

“Apabila saya kata separuh persefahaman itu, pemimpin mereka menyebut di kawasan yang PN tidak bertanding, hendaklah mengundi BN. Itu sudah berlaku di Johor,” katanya.

Beliau berkata, model kerjasama yang lebih menyeluruh telah dilaksanakan di Negeri Sembilan apabila BN bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi diperuntukkan kepada PN.

“Persefahaman sepenuhnya di negeri Sembilan apabila 25 kerusi sahaja yang ditandingi oleh BN dan 11 lagi kita beri kepada PN. Tidak berlaku pecah undi dan akibat daripadanya kita mendapat kemenangan,” katanya.

Ahmad turut menjelaskan bahawa kerjasama itu dilihat penting memandangkan Pakatan Harapan (PH) telah menarik diri daripada kerajaan negeri (Melaka).

“Kenapa perlu diteruskan? Kerana PH sudah menarik diri daripada kerajaan Melaka. Jadi jangan salahkan kami tidak bersama dengan PH sebab PH dah tarik diri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, tarikh sebenar PRN Melaka masih belum diputuskan, namun Ketua Menteri sebelum ini membayangkan pilihan raya itu mungkin diadakan sebelum Disember.

“Setakat ini, kita pulangkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Melaka untuk membuat keputusan selepas berunding dengan Presiden dan juga Pengerusi BN,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat MKT UMNO pada bulan ini dan Perhimpunan Agung UMNO pada September dijangka menjadi platform penting untuk membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya tersebut.

“Daripada hari ini lagi, kita patut membuat persiapan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share