
KANGAR, 9 Sep 26 – BERSATU Kangar berdepan tamparan politik apabila 90 daripada 99 Ketua Cawangan mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan, dalam perkembangan yang memperlihatkan semakin seriusnya ketidakpuasan di peringkat akar umbi.
Pengumuman itu dibuat bersama Jawatankuasa Bahagian BERSATU Kangar serta barisan kepimpinan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda, yang mendakwa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat selepas menilai hala tuju, pengurusan organisasi dan pendekatan kepimpinan parti.
Naib Ketua Bahagian BERSATU Kangar, Faisol Rahman yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas pertimbangan mendalam serta mengambil kira pandangan akar umbi.
Menurutnya, mereka yang sekian lama bersama-sama membangunkan BERSATU di peringkat bahagian dan cawangan merasakan kepercayaan terhadap kepimpinan parti telah hilang.
“Kami melihat terdapat perkara-perkara berkaitan hala tuju, pengurusan organisasi dan pendekatan kepimpinan yang tidak lagi selari dengan harapan serta aspirasi kami sebagai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Faisol berkata, kekuatan sesebuah parti politik bermula daripada kepercayaan antara kepimpinan dan akar umbi, namun apabila kepercayaan itu terhakis, mereka merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil pendirian yang jelas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkembangan itu tidak membabitkan mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN daripada BERSATU Perlis.
Malah, Cawangan Hujong Tanjung yang merupakan cawangan Menteri Besar Perlis turut kekal dalam BERSATU.
Faisol berkata, keputusan meninggalkan BERSATU juga bukan bermaksud mereka meninggalkan perjuangan politik atau perjuangan untuk rakyat.
Sebaliknya, katanya, mereka memilih untuk meneruskan perjuangan melalui wadah politik yang dipercayai mampu memberikan ruang lebih baik kepada suara akar umbi serta membawa perubahan yang lebih bermakna.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengumumkan keputusan menyertai Parti Wawasan yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Kami melihat Parti Wawasan sebagai satu wadah baharu untuk kami meneruskan khidmat kepada rakyat, khususnya masyarakat di Kangar dan seluruh negeri Perlis,” katanya.
Faisol berkata mereka akan membawa bersama pengalaman, tenaga dan komitmen yang dibina selama ini bagi memperkukuhkan perjuangan baharu tersebut.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakan seperjuangan dalam BERSATU dan menegaskan keputusan itu dibuat tanpa mahu mencetuskan permusuhan dengan mana-mana pihak.
Katanya, fokus selepas ini adalah untuk terus turun ke akar umbi, mendengar suara rakyat dan bekerja demi kepentingan masyarakat.
“Kami meninggalkan BERSATU kerana hilang kepercayaan.
“Kami menyertai Parti Wawasan kerana percaya kepada satu hala tuju baharu.
“Perjuangan kami tidak berhenti — perjuangan kami diteruskan bersama rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.