Krisis Adat: UMNO N.Sembilan Mahu Adat, Perlembagaan Jadi Jalan Penyelesaian

SEREMBAN, 10 Sep 26 – UMNO Negeri Sembilan mahu kemelut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, ketika perkembangan isu berkenaan semakin mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan institusi adat negeri.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan perkara yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau individu secara bersendirian.

Sebaliknya, menurut UMNO Negeri Sembilan, perkara itu perlu dilihat dalam kerangka adat, prerogatif dan peruntukan perlembagaan negeri yang menjadi asas kepada keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

“Sebarang persoalan berkaitan kedudukan institusi negeri hendaklah diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, telus serta menghormati struktur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media.

UMNO Negeri Sembilan turut mengambil maklum perkembangan terbaru berhubung proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz serta penjelasan dan pendirian yang dikemukakan oleh Undang Yang Empat dalam sidang media pada 8 September lalu.

Menurut kenyataan itu, UMNO Negeri Sembilan memandang serius perkembangan berkenaan dan tidak mahu rakyat terus dibebankan dengan pertikaian yang berpanjangan.

“ Kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat mesti kekal menjadi keutamaan,” katanya.

UMNO Negeri Sembilan berkata, sebagai parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, pihaknya akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati adat dan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menyelaras isu-isu berkaitan adat secara harmoni selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat supaya kekal tenang dan memberikan ruang kepada proses yang sewajarnya untuk berjalan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share