“Proses Menurunkan Tuanku Muhriz Sudah Selesai” – Chegubard Gesa Krisis Adat N.Sembilan Perlu Ditamatkan

SEREMBAN | 21 Sep 26 – Penyelaras Wawasan Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berpandangan proses berkaitan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz, telah selesai dan kemelut berkaitan adat serta institusi pemerintahan negeri itu perlu ditamatkan.

Bercakap kepada Politiko hari ini, beliau berkata semua pihak perlu menghormati kedudukan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang mempunyai sistem pemilihan pemerintah tersendiri berasaskan adat dan Undang Yang Empat.

Menurutnya, proses berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz telah selesai dari sudut yang beliau fahami dan perkara itu tidak sepatutnya terus dipanjangkan sehingga menimbulkan ketidakstabilan.

“Pertama, kita sebenarnya bagi saya lah kan, kita menghargai pandangan dan kita juga rasa masanya juga sesuai untuk pandangan dan nasihat khususnya daripada istana yang lain tetapi dalam itu kita perlu sedar pertama semua proses telah selesai di Negeri Sembilan untuk menurunkan Tuanku Muhriz.

“Dalam Negeri Sembilan ini, takhta ataupun kuasa pemerintah itu tidak diwarisi tetapi dipilih,” katanya.

Chegubard turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya perlu dihormati dalam konteks hak dan kedudukan negeri serta institusi pemerintahan Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa tindakan kerajaan Persekutuan untuk terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar bercanggah dengan kedudukan tersebut.

Chegubard juga menjelaskan bahawa Tuanku Muhriz bukan putera kepada Tuanku Ja’afar, sebaliknya putera kepada Tuanku Munawir, sebelum dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar.

Katanya, pemilihan Tuanku Muhriz ketika itu tidak dipertikaikan oleh keluarga Tuanku Ja’afar dan proses tersebut menunjukkan kedudukan pemerintah Negeri Sembilan berbeza daripada sistem pewarisan takhta secara langsung.

“Ini kuasa Undang Yang Empat. Bagaimana dia dinaikkan, tidak ada orang pertikai dan tidak ada keluarga Tuanku Ja’afar yang pertikai,” katanya.

Sehubungan itu, Chegubard berkata kuasa Undang Yang Empat dalam menentukan kedudukan pemerintah perlu dihormati dan semua pihak tidak seharusnya membiarkan kemelut tersebut berkembang menjadi krisis yang lebih besar.

“Takhta ini bukan untuk diwarisi. Jadi tenang, turun dengan baik, kekalkan keadaan dan kestabilan yang ada,” katanya.

Pandangan itu hadir ketika Negeri Sembilan masih berdepan pertikaian terbuka mengenai kesahan proses yang didakwa membawa kepada penurunan Tuanku Muhriz.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah dan menyatakan tiada proses sah pernah menyebabkan Baginda terhenti daripada jawatan tersebut.

DKU turut menyatakan proklamasi berkaitan penurunan takhta itu tidak sah di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan Negeri Sembilan pula mempertahankan tafsiran berhubung proses berkenaan, manakala isu tersebut turut mencetuskan pertikaian mengenai bidang kuasa kerajaan negeri, DKU dan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, kenyataan Chegubard itu merupakan pandangan beliau dalam kemelut yang masih mempunyai tafsiran perundangan dan institusi yang berbeza. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share