“Dipaksa Tandatangan” Hanya Afterthought – Peguam Undang Yang Empat

SEREMBAN | 11 Sep 26 – Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan disifatkan sebagai “pemikiran terkemudian” (afterthought) oleh peguam yang mewakili Undang Yang Empat.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tiada unsur paksaan berlaku ketika Ismail menandatangani dokumen berkenaan di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.

Menurutnya, Ismail terlebih dahulu diberikan penerangan mengenai keputusan Undang Yang Empat serta keperluan menandatangani instrumen proklamasi berkenaan.

Beliau berkata, Menteri Besar turut hadir bersama peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, sebelum menyatakan persetujuan untuk menandatangani proklamasi tersebut.

“Menteri Besar telah bertindak menandatangani proklamasi berkenaan secara rela hati dan tanpa paksaan, malah dengan kehadiran peguam beliau sendiri,” katanya dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar.

Mohd Khairul Azam berkata, keadaan pada malam tersebut juga berlangsung dalam suasana santai dan tiada tekanan terhadap Menteri Besar.

“Kenyataan beliau bahawa dipaksa menandatangani proklamasi tersebut adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought) dan tiada keadaan yang berlaku pada malam tersebut yang mendorong ke arah wujudnya elemen paksaan untuk beliau membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa unsur paksaan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melibatkan ancaman terhadap nyawa, ugutan kecederaan atau kehilangan harta benda.

Sehubungan itu, katanya, Ismail perlu membuktikan wujudnya unsur-unsur tersebut sekiranya mendakwa beliau terpaksa menandatangani proklamasi berkenaan.

Sebelum ini, Ismail mendakwa beliau menandatangani surat cara proklamasi tersebut tanpa kerelaan dan dalam keadaan paksaan (duress).

Beliau juga berkata laporan polis telah dibuat pada 8 September bagi membolehkan perkara itu disiasat pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairul Azam mengesahkan majlis pada 3 Ogos itu tidak dihadiri pemimpin UMNO lain termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share