Hamzah Pelawa Pengundi Bukan Melayu Tinggalkan DAP, Sertai ‘Pasukan Biru’

KUALA LUMPUR | 30 Julai 26 – Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengajak pengundi bukan Melayu meninggalkan DAP dan menyertai parti-parti komponen dalam apa yang beliau sifatkan sebagai “pasukan biru”.

Menurut beliau, masyarakat bukan Melayu tidak perlu bimbang sekiranya parti-parti Melayu berjaya disatukan kerana gabungan tersebut turut menyediakan ruang kepada parti-parti pelbagai kaum.

“Kalau nak tinggalkan DAP, tinggalkan. Kerana pasukan biru ini kita juga ada MCA. Kalau tidak, kita ada Gerakan. Kita juga ada MIC. Kalau tidak, masuk MIPP juga dalam pasukan biru,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Wawasan Negara.

Hamzah berkata, sekiranya pengundi masih belum menemui parti yang sesuai, mereka turut boleh mempertimbangkan Parti Wawasan Negara sebagai pilihan politik baharu.

“Kalau semua parti korang tak mahu, ada satu parti lagi. Itulah dia Parti Wawasan Negara,” katanya.

Beliau sebelum itu menjelaskan bahawa usaha menyatukan parti-parti Melayu bukan bertujuan menakutkan kaum lain, sebaliknya bagi memastikan kestabilan politik negara.

Menurut Hamzah, selepas kelompok majoriti berjaya disatukan, masyarakat daripada kaum lain tidak seharusnya berasa gusar kerana gabungan tersebut tetap membuka ruang penyertaan kepada parti-parti yang mewakili pelbagai kaum. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share