
PUTRAJAYA, 11 Sep 26 – Permohonan pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Perkara itu dinyatakan dalam siaran media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim, berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Keputusan berkenaan bermakna tiada keputusan mengenai pembebasan atau pengampunan Najib dibuat dalam mesyuarat hari ini.
Mesyuarat yang sama turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang turut memaklumkan semua banduan yang bukan warganegara hendaklah dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
Perkembangan itu sekaligus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan Najib dibebaskan pada hari ini, dengan keputusan rasmi menunjukkan permohonan pengampunannya masih belum diputuskan.
Permohonan tersebut kini perlu menunggu mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.