
KUALA LUMPUR | 28 Sep 26 – Kerajaan akan memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera membantu urusan pengurusan serta pelaksanaan istiadat berkenaan.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Anwar, negara akan terus mengenang sosok keibuan Almarhumah selain menghargai jasa dan bakti beliau.
Beliau turut menyampaikan ingatan dan doa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan tersebut.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.