Pengampunan Najib Ditangguh, PAS Persoal: Ada Arahan Atau Bantahan?

KUALA LUMPUR | 14 Sep 26 – PAS mempersoalkan penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan menuntut kerajaan memberikan penjelasan sama ada ia berlaku susulan arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu perlu dijelaskan kepada umum kerana penangguhan tersebut melibatkan isu berkepentingan awam.

Beliau berkata, PAS merujuk kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bertarikh 11 September 2026 berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim.

Menurut Takiyuddin, kenyataan BHEUU turut memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke satu mesyuarat Lembaga Pengampunan lain yang akan diadakan kelak.

Namun, PAS berpandangan penangguhan tersebut tidak berlaku secara sendirinya.

“PAS beranggapan penangguhan permohonan Dato’ Sri Mohd Najib di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat arahan dan/atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dari kalangan ahli-ahli Lembaga ataupun dari mana-mana pihak ketiga lain yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, Takiyuddin menuntut kerajaan menjelaskan kepada umum perkara yang menyebabkan permohonan tersebut ditangguhkan.

“Justeru PAS menuntut pihak kerajaan dengan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam (public interest) yang tidak wajar dihalang dari pengetahuan rakyat jelata,” katanya.

Kenyataan PAS itu dibuat susulan pengumuman BHEUU mengenai keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 yang bersidang pada 11 September lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share