PAS Bimbang Zakir Naik Jadi ‘Korban Politik atau Konsesi Diplomatik’

KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 – PAS melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik menjadi “korban politik atau konsesi diplomatik” susulan isu permohonan ekstradisinya oleh India.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada awam status perundangan dan diplomatik sebenar permohonan ekstradisi berkenaan, termasuk isu yang dibincangkan serta sebarang persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Perkembangan itu susulan laporan Astro AWANI yang memetik Bernama pada Ogos 2024 bahawa Anwar berkata isu ekstradisi Zakir Naik wajar “reda seketika” selagi ia tidak menjejaskan hubungan Malaysia-India.

Dalam laporan sama, Anwar berkata Malaysia mungkin mempertimbangkan permintaan India untuk mengekstradisi Zakir sekiranya negara berkenaan memberikan lebih banyak bukti, selain menegaskan Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang.

Mengulas perkembangan berkenaan, Takiyuddin berkata PAS bimbang Zakir Naik menjadi mangsa pertimbangan politik atau diplomatik sekiranya syarat undang-undang tidak dipatuhi.

“Justeru PAS merakamkan kebimbangan serius tentang kemungkinan Dr. Zakir Naik menjadi korban politik atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau memenangi kepercayaan India sekiranya isu-isu berkait undang-undang di atas tidak dipatuhi dan prinsip-prinsipnya dihormati sebagaimana sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut menuntut kerajaan menjelaskan sama ada keterangan dan dokumentasi yang dikemukakan pihak India bagi menyokong permohonan ekstradisi memenuhi syarat yang ditetapkan undang-undang Malaysia.

Beliau berkata hubungan dua hala Malaysia-India dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan teknologi tidak seharusnya mengatasi undang-undang negara yang mengawal proses ekstradisi.

“Malaysia seharusnya memberi pertimbangan wajar kepada apa-apa permohonan ekstradisi yang sah daripada mana-mana negara asing selaras dengan proses undang-undang, bukan transaksi atau tawar menawar politik,” katanya.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa kedaulatan negara dan integriti sistem keadilan perlu dipertahankan dalam menangani isu berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share