
KUALA LUMPUR | 17 Sep 26 – Harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi naik 35 sen seliter mulai hari ini hingga 23 September.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97 kini RM4.85 seliter berbanding RM4.50 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat daripada RM4.02 kepada RM4.37 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula naik daripada RM4.92 kepada RM5.27 seliter.
Bagaimanapun, harga RON95 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) kekal RM2.10 seliter.
Menurut MOF, kenaikan itu berlaku susulan peningkatan harga petroleum dunia yang dikaitkan dengan ketegangan di Asia Barat selepas konflik memasuki tempoh 200 hari.
Kementerian memaklumkan serangan melibatkan Iran, kapal berhampiran Selat Hormuz, Yaman serta infrastruktur tenaga Arab Saudi telah menjejaskan laluan dan bekalan tenaga.
Keadaan itu turut menyebabkan harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).
MOF turut menyatakan konflik Rusia-Ukraine serta gangguan kapasiti penapisan di Rusia berisiko menyebabkan ketidaktentuan harga petroleum berterusan dalam tempoh akan datang.
Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi bersasar BUDI Madani. Penerima BUDI95 membayar RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.37, manakala penerima BUDI Diesel membayar RM2.10 berbanding RM5.27 seliter.
Mulai 1 September lalu, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan kepada 300 liter. Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan kelayakan sehingga 400 liter sebulan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.