Saifuddin Tegur Nga Kor Ming: Menteri Perlu Jaga Disiplin Kabinet

KUALA LUMPUR | 11 Julai 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengingatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya lebih berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan awam kerana setiap anggota Kabinet terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama.

Saifuddin berkata, beliau memahami penjelasan Menteri Pendidikan Tinggi bahawa setiap anggota Kabinet mesti mempertahankan keputusan yang dipersetujui secara bersama dan tidak menyerang rakan Kabinet di luar mesyuarat.

“Saya memahami kenyataan Menteri KPT bahawa seseorang anggota Kabinet mesti mengamalkan ‘tanggungjawab bersama’ terhadap apa-apa keputusan Kabinet. Seorang anggota Kabinet tidak boleh menyerang seorang anggota Kabinet lain di luar,” katanya kepada politiko.

Menurut beliau, prinsip itu menuntut setiap menteri lebih berhati-hati ketika berucap di hadapan khalayak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang polemik.

“Dalam hal ini, seorang menteri harus lebih berhati-hati dalam menggunakan apa-apa perkataan atau frasa semasa berucap di depan khalayak. Contohnya, janganlah menggunakan frasa bahasa Cina,” katanya.

Saifuddin berkata, penggunaan frasa sedemikian boleh memberi gambaran bahawa seseorang telah melampaui batas, sebagaimana diungkapkan dalam peribahasa Melayu “diberi betis hendak peha” dan “naik tocang”.

Beliau tidak menamakan secara langsung isu yang dirujuk, namun kenyataan itu dilihat sebagai teguran terhadap Nga Kor Ming susulan polemik membabitkan ucapan menteri berkenaan baru-baru ini.

Terdahulu, Zambry dilaporkan mengingatkan bahawa semua anggota Kabinet terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) dan tidak seharusnya mengkritik atau menyerang rakan Kabinet di luar saluran yang sewajarnya. Beliau mengulas kenyataan Nga Kor Ming yang menggunakan frasa “慢慢来,像乌龟一样” (man man lai, xiang wu gui yi yang) atau “perlahan-lahan, seperti kura-kura”, yang mencetuskan polemik selepas dilihat menyindir tindakan seorang lagi menteri Kabinet. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share