Isu Tarif TNB: MP Persoal Menteri, Ketua Pemuda Wawasan Desak Tarif Diturunkan

KUALA LUMPUR | 17 Sep 26 — Isu tarif elektrik dan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) terus mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Ketereh, YB Dato’ Khlir Mohd Nor mempersoalkan keupayaan kementerian berkaitan mencari penyelesaian yang lebih meringankan beban rakyat.

Khlir berkata seorang menteri tidak sepatutnya sekadar menguruskan isu secara pentadbiran, sebaliknya perlu mempunyai idea dan keberanian untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

“Kalau saya punya pandangan lah, menteri tak function lah. Menteri Madani ni semua tak function. Takkan kau tak boleh nak buat, takkan kau tak boleh cari jalan macam mana nak urus isu TNB ni,” katanya kepada Politiko.

Menurut beliau, tanggungjawab menteri adalah mencari penyelesaian melalui perbincangan dan kajian, termasuk mendapatkan pandangan pakar sekiranya kementerian tidak mempunyai kepakaran khusus mengenai isu tarif elektrik.

“Dia bila jadi menteri, you must have idea. Bincang selesaikan masalah rakyat. Idea tu pula, dia kena ke arah menolong rakyat. Bukan yang melepas batuk di tangga,” katanya.

Khlir berkata kerajaan mempunyai pegawai serta saluran untuk menjalankan kajian dan mendapatkan pandangan pakar bagi mencari penyelesaian terhadap isu tarif TNB yang telah lama dibangkitkan.

“Menteri kalau tak mahir satu-satu isu, panggil pakar bincang, mereka tahu bagaimana nak selesaikan. Tak perlu cakap politik, selesaikan segera masalah rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Wawasan Negara, Faiz Rahmad turut mempersoalkan kesan mekanisme AFA terhadap pengguna elektrik, khususnya mereka yang menggunakan lebih 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan.

Menurut Faiz, perubahan kepada sistem tarif menyebabkan sebahagian pengguna terpaksa menanggung kesan perubahan kos bahan api global yang sebelum ini, menurutnya, lebih banyak diserap oleh kerajaan dan TNB.

“Sistem AFA ini menyebabkan rakyat terpaksa tanggung kenaikan kos minyak antarabangsa,” katanya kepada Politiko.

Faiz berkata, di bawah sistem terdahulu, kerajaan dan TNB mengambil langkah untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah global bagi memastikan harga bekalan elektrik kekal mampu dibayar rakyat.

“Hari ini perkara itu tidak berlaku lagi, rakyat yang menggunakan lebih 600 kWh terpaksa menanggung kenaikan kos,” katanya.

Beliau turut mendakwa penggunaan elektrik melebihi 600 kWj bukan perkara luar biasa, khususnya dalam kalangan pengguna yang mempunyai penggunaan internet dan peralatan elektrik yang tinggi, sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah.

Berdasarkan struktur tarif semasa, pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah dikecualikan daripada AFA. Bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen setiap kWj.

Faiz turut mengingatkan bahawa sebelum ini Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan TNB berhubung isu tarif.

“Jika dahulu Anwar kata akan bincang dengan TNB, ajak minum teh. Hari ini setelah riuh sekampung baru ambil tindakan sedangkan rakyat telah mengutarakan isu ini berulang kali selama bertahun-tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Faiz berkata Wawasan Negara mencadangkan kerajaan menurunkan tarif elektrik serta menilai semula mekanisme sedia ada supaya wujud sistem yang boleh menjadi penampan terhadap turun naik harga bahan mentah global.

“Saranan kita sudah pasti menurunkan tarif dan mencadangkan sistem lebih baik yang bersifat penampan bagi memastikan kadar elektrik yang rendah dan tidak terkesan dengan peningkatan harga barangan mentah global,” katanya.

“Utamakan kebajikan rakyat, bukan keuntungan syarikat milik kerajaan.”

Bagaimanapun, TNB dalam kenyataan pada 15 September menjelaskan AFA bukan caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB, sebaliknya merupakan mekanisme dua hala bagi mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang. TNB berkata pengguna telah menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme itu diperkenalkan pada Julai 2025, berbanding surcaj RM800 juta dalam tempoh sama.

Suruhanjaya Tenaga pula menjelaskan AFA membolehkan caj penjanaan diselaraskan setiap bulan berdasarkan perubahan harga bahan api, kos di bawah perjanjian pembelian tenaga serta beberapa kos penjanaan lain. Mekanisme itu merupakan sebahagian daripada kerangka tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share