WAWASAN NEGARA Perak Gerak Strategi Tarik Ahli Baharu, Sasar 1,000 Setiap Bahagian

IPOH | 1 Sep 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Perak akan menggerakkan strategi khusus bagi menarik penyertaan ahli baharu dengan setiap Ketua Bahagian (KB) Penaja disasarkan mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli.

Penyelaras WAWASAN Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sasaran itu merupakan antara tugasan awal yang perlu digalas KB Penaja selepas menerima watikah pelantikan daripada pimpinan pusat.

“Terima kasih kepada Presiden atas perlantikan sebagai KB Penaja Pasir Salak.

“Arahan rasmi yang diputuskan WAWASAN Pusat agar KB Penaja mendaftarkan 1,000 ahli adalah tugas awalan yang perlu digalas dengan tertib,” katanya kepada Politiko.

Menurut beliau, usaha membina kekuatan WAWASAN di Perak merupakan cabaran baharu yang memerlukan gerak kerja berbeza, walaupun parti berkenaan merupakan transformasi daripada Parti Cinta Malaysia (PCM).

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, PCM Perak sebelum ini mempunyai sekitar 2,000 ahli di seluruh negeri, justeru usaha memperluaskan keahlian WAWASAN memerlukan komitmen dan strategi yang tersusun.

“Cabaran baru di parti baru kali ini amat berbeza dan sudah tentu gerakerja juga berbeza sama sekali.

“Walaupun Wawasan Negara adalah transformasi penanaman semula daripada PCM, ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Zainol Fadzi berkata, WAWASAN perlu tampil dengan pendekatan tersendiri untuk menarik sokongan masyarakat memandangkan terdapat banyak parti dominan Melayu yang sudah mempunyai kedudukan dan sokongan dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata kekuatan kepimpinan pusat, promosi serta imej parti menjadi antara elemen penting untuk memperkenalkan WAWASAN kepada masyarakat dan menarik ahli baharu.

“Populariti pimpinan di pusat selain promosi dan imej parti Wawasan Negara juga adalah elemen yang penting dalam menarik sokongan mencari ahli baharu.

“Ini telah nyata dengan penjelasan, matlamat serta hala tuju parti yang telah dilontarkan oleh Presiden dan pimpinan pusat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mencabar setiap KB Penaja supaya mengetengahkan personaliti serta kekuatan pasukan masing-masing bagi membina tarikan di peringkat setempat.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha mendapatkan ahli baharu tidak hanya bergantung kepada populariti pimpinan pusat.

“KB juga perlu menonjolkan personaliti dan tarikan daripada pasukan bahagian masing-masing dalam menarik sokongan setempat menyertai WN,” katanya.

Zainol Fadzi berkata, WAWASAN Perak pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan matlamat yang telah diputuskan Majlis Tertinggi (MT) WAWASAN ketika menerima watikah pelantikan baru-baru ini.

Beliau berkata, semua KB Penaja Perak dijadual mengadakan pertemuan bagi menyusun langkah dan strategi untuk mencapai sasaran ditetapkan, selain bertukar pandangan menerusi kumpulan komunikasi sebelum ini.

Sebagai Penyelaras WAWASAN Negeri Perak, Zainol Fadzi turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan KB Penaja di seluruh negeri untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

“Saya amat yakin dengan pasukan KB Penaja Perak dalam melaksanakan amanah yang digalas dan diamanahkan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share