
KUALA LUMPUR, 25 Mei 25 – Ketua Bahagian Sepanggar, Norsahar Ahmad menyambut baik keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang telah membuat keputusan untuk memulakan rundingan dengan parti-parti politik di Sabah, dalam persediaan menghadapi Prilihan Raya Negeri (PRN Sabah) tahun ini.
Beliau berkata, Bersatu Bahagian Sepanggar telah bersiap sedia sejak siri jelajah bersama Timbalan Presiden dan momentum tersebut akan diteruskan.
“Bagi pihak kami di sini, sejak daripada jelajah rakyat lagi yang telah diadakan oleh Timbalan Presiden Dato Seri Hamzah, sebelum bulan puasa hari tu, momentum kami berterusan dan sekarang ini pun kami sedang menyediakan jentera pilihan raya di kawasan Dun masing-masing iaitu Dun Karambunai, Dun Darau dan juga Dun Inanam.
“Beberapa program, sedang diatur dan sedang berjalan seperti sesi bertemu rakyat disetiap PDM-PDM kami iaitu Pusat Daerah Mengundi dan telah menyusun dan melantik jentera-jentera yang akan bertugas. Kata beliau kepada politiko.
Menurutnya, ketika ini belum ada apa-apa pendirian atau keputusan pimpinan untuk menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi atau dengan parti mana yang akan mereka bekerjasama.
“Bagi pihak Parlimen Sepanggar P171, kita ada tiga Dun dan kita jangkakan Bersatu PN akan meletakkan calon-calonnya semasa PRN inilah.
“Tentang berapa banyak kerusi yang akan Bersatu tanding di PRN Sabah nanti, kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Presiden dalam masa terdekat. Ujarnya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka akan diadakan tahun ini kerana tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang ditadbir oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025. @politiko.my