
IPOH | 18 Sep 26 – Ketua Whip Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata beliau menerima aduan rakyat setiap hari berhubung kenaikan bil elektrik yang didakwa melonjak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan mereka.
Menurutnya, kerajaan telah memberikan pelbagai penjelasan dan penerangan mengenai kenaikan bil elektrik, termasuk mengaitkannya dengan corak penggunaan serta menggesa pengguna menggunakan elektrik secara berhemah menerusi pelbagai infografik.
Namun katanya, penjelasan berhubung penggunaan elektrik itu tidak sepenuhnya menjawab persoalan rakyat yang mendakwa penggunaan mereka adalah sama seperti sebelum ini tetapi bacaan bil terbaru menunjukkan peningkatan yang tinggi.
“Setiap hari menerima aduan rakyat tentang kenaikan bil elektrik yang naik melambung. Kebanyakan rakyat tidak dapat menerima kenaikan ini dan merasakan tekanan dalam kehidupan,” katanya kepada Politiko.
Zainol Fadzi berkata, antara perkara yang paling banyak dibangkitkan rakyat ialah keinginan supaya kaedah pengiraan bil elektrik dikembalikan seperti sebelum ini tanpa pelbagai caj tambahan yang diperkenalkan selepas perubahan tarif.
“Mereka kebanyakannya meminta dikembalikan cara pengiraan seperti sebelum ini tanpa caj-caj yang pelbagai selepas kenaikan tarif, seperti penggunaan AFA, caj peruncitan serta SST,” katanya.
Beliau berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian kerana persoalan yang dibangkitkan pengguna bukan semata-mata mengenai jumlah penggunaan elektrik, tetapi kesan keseluruhan struktur pengiraan dan caj terhadap jumlah bil yang perlu dibayar.
Bagi pengguna yang mendakwa penggunaan mereka tidak berubah tetapi bil meningkat dengan ketara, persoalan mengenai bagaimana jumlah akhir bil dikira menjadi antara perkara yang mahu mendapatkan penjelasan lebih jelas. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.