Akmal Persoal Semula Angka 90 Peratus Selepas Kuota BUDI95 Dikembalikan

KUALA LUMPUR | 1 Sep 26 – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan rasional kerajaan mengembalikan semula kuota asas subsidi petrol BUDI Madani RON95 (BUDI95) kepada 300 liter sebulan selepas sebelum ini menetapkan had 200 liter berdasarkan kajian penggunaan rakyat.

Akmal mempersoalkan sama ada kajian yang mendapati hanya sekitar satu peratus pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan masih terpakai selepas kerajaan membuat keputusan mengembalikan kuota tersebut.

Persoalan itu dibangkitkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

“Dia yang mewujudkan kuota. Dia juga yang menurunkan kuota. Dia juga yang menaikkan semula kuota. Dan dia jugalah yang mengangkat diri sendiri sebagai hero.

“Nak tanya, kajian yang menyatakan hanya 1% jer guna minyak melebihi 200 liter sebulan tu tidak terpakai ke apa? Ke dah berubah akibat PRN?

“Apa pun, terima kasih hero!!!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada April lalu, kerajaan menyelaraskan had kelayakan BUDI95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan sebagai langkah sementara susulan ketidakstabilan bekalan minyak global.

Kementerian Kewangan kemudian menjelaskan bahawa data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90 peratus pengguna BUDI95, dengan langkah itu bertujuan memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.

Malah, ketika pelarasan kuota itu diumumkan, Akmal sendiri pernah mempersoalkan pendekatan kerajaan yang menggunakan angka 90 peratus sebagai asas keputusan tersebut.

Pada 27 Mac, beliau berkata penyelarasan kuota perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dinilai berdasarkan peratusan, sebaliknya mengambil kira realiti kehidupan rakyat yang terkesan.

Dengan keputusan terbaharu kerajaan mengembalikan kuota kepada 300 liter, Akmal kini mempersoalkan sama ada asas kajian yang digunakan untuk menetapkan had 200 liter sebelum ini masih relevan atau keputusan terbaharu dibuat atas pertimbangan lain.

Beliau turut mengaitkan perubahan itu dengan perkembangan politik semasa apabila mempersoalkan sama ada keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengumuman kerajaan itu dibuat ketika Anwar menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, dengan lebih 16 juta pengguna dijangka menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share