
KUALA LUMPUR | 18 Sep 26 – Parti Wawasan Negara memandang berat keputusan kerajaan menaikkan sementara had perlindungan bil elektrik daripada 600 kWh kepada 800 kWh sehingga 31 Disember 2026, namun mempersoalkan rasional untuk mengembalikan semula had itu kepada 600 kWh selepas tempoh berkenaan.
Ketua Hal Ehwal Ekonomi Wawasan Negara, Datuk Mohd Omar Mustapha berkata, pengakuan kerajaan bahawa cuaca lebih panas dan jerebu menyebabkan sebahagian isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik sehingga melepasi paras 600 kWh seharusnya turut menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian had tersebut selepas akhir tahun.
“Jika 800 kWh dianggap paras perlindungan yang lebih munasabah dalam keadaan cuaca sekarang, mengapa rakyat perlu kembali kepada had 600 kWh pada 1 Januari 2027?” soalnya.
Menurut beliau, cuaca panas tidak berakhir mengikut kalendar kerajaan dan sekiranya peningkatan penggunaan elektrik berpunca daripada keadaan yang berada di luar kawalan pengguna, kerajaan perlu menjelaskan mengapa 600 kWh masih dianggap ambang yang sesuai selepas 31 Disember 2026.
Omar yang juga Naib Presiden Wawasan Negara turut meminta kerajaan melihat kesan kenaikan penggunaan elektrik akibat cuaca panas dan jerebu terhadap institusi serta sektor lain, bukan hanya isi rumah.
Katanya, keadaan itu turut meningkatkan penggunaan elektrik di sekolah, institusi pengajian tinggi, masjid dan surau, rumah kebajikan, hospital, klinik, kedai, restoran, pasar raya, hotel serta tempat kerja.
Beliau mengakui sekolah, institusi pengajian tinggi, rumah kebajikan dan rumah ibadat menerima rebat 10 peratus, namun berpandangan rebat tersebut hanya mengurangkan sebahagian daripada beban bil tambahan.
“Jika sebuah masjid atau sekolah menggunakan lebih banyak elektrik kerana penghawa dingin, kipas dan sistem pengudaraan terpaksa beroperasi lebih lama, sebahagian besar kos tambahan itu masih perlu ditanggung oleh mereka,” katanya dalam kenyataan.
Bagi perniagaan kecil pula, Omar berkata peningkatan kos elektrik akhirnya boleh memberi kesan kepada pengguna apabila kos tersebut menjadi sebahagian daripada kos operasi yang diterjemahkan kepada harga makanan, barangan dan perkhidmatan.
Sehubungan itu, Wawasan Negara menyambut baik langkah kerajaan menaikkan had perlindungan kepada 800 kWh, tetapi mahu kerajaan melihat isu berkenaan secara lebih menyeluruh.
“Jangan sekadar memindahkan garisan daripada 600 kepada 800 kWh selama empat bulan. Jelaskan apa yang akan berlaku selepas 31 Disember 2026 dan lihat juga kesannya kepada institusi masyarakat serta perniagaan yang berdepan cuaca dan kenaikan kos tenaga yang sama,” katanya.
Omar berkata, prinsip yang sama perlu digunakan apabila kerajaan menilai beban penggunaan elektrik yang ditanggung pelbagai pihak akibat perubahan keadaan cuaca.
“Kalau kenaikan penggunaan elektrik akibat cuaca dianggap alasan yang sah untuk melindungi isi rumah, prinsip yang sama juga perlu diambil kira apabila menilai beban yang ditanggung oleh sekolah, rumah ibadat, rumah kebajikan, hospital dan perniagaan kecil,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.