
KUALA TERENGGANU | 7 Ogos 26 – Selepas berdepan tamparan politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BERSATU sekali lagi berdepan tekanan apabila tiga pemimpin kanan parti itu di Terengganu mengambil keputusan melepaskan jawatan masing-masing.
Perkembangan terbaru itu menambah persoalan terhadap keadaan dalaman BERSATU selepas parti tersebut melalui episod mencabar membabitkan prestasi pilihan raya, hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) serta isu penyusunan semula kepimpinan parti.
Antara yang melepaskan jawatan ialah Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris yang mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Razali bagaimanapun kekal sebagai ahli parti dan masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.
Turut mengambil langkah sama ialah ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, serta ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang berundur daripada jawatan Bendahari BERSATU negeri.
Gelombang pengunduran itu berlaku selepas BERSATU berdepan cabaran besar dalam PRN Negeri Sembilan apabila keputusan pilihan raya menyaksikan kekalahan besar selepas PRN Johor.
Lebih menarik perhatian, BERSATU Negeri Sembilan sebelum ini mempertahankan keputusan bertanding menggunakan platform sendiri selepas berlaku ketegangan hubungan dengan rakan komponen PN.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Khazan Che Mat turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin mengikuti langkah Razali.
“Saya menyertai BERSATU pada 2016 atas pelawaan Razali. Jika dia letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan. Jika kepala tiada, ekor akan mengikuti,” katanya kepada Berita Harian.
Situasi itu mencetuskan persoalan sama ada peletakan jawatan tersebut hanya melibatkan perubahan organisasi biasa atau menjadi petanda lebih besar terhadap krisis keyakinan dalam kalangan pemimpin akar umbi BERSATU.
Selepas beberapa siri pergolakan dalaman sebelum ini, perkembangan terbaru di Terengganu menambah tekanan terhadap parti yang menjadi salah satu tunjang utama PN menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.