
KUALA LUMPUR | 20 Sep 26 – Penyatuan ummah perlu bersifat inklusif dan melibatkan semua pihak, namun UMNO dan PAS perlu menjadi dua parti yang menggerakkan agenda berkenaan terlebih dahulu, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azman Azeez.
Beliau berkata, penyatuan ummah dan persefahaman politik merupakan dua perkara berbeza yang tidak wajar dicampuradukkan ketika membincangkan usaha menyatukan masyarakat Melayu Islam.
“Kita kena bezakan antara penyatuan ummah dan juga persefahaman politik. Ini dua perkara yang berbeza. Jangan kita terperangkap,” katanya ketika menjadi panel dalam Politikopi bertajuk ‘Penyatuan Ummah: Eksklusif atau Inklusif?’
Menurut Khairul Azman, agenda penyatuan ummah perlu dilaksanakan secara inklusif dengan melibatkan semua pihak supaya matlamat berkenaan dapat dicapai.
Katanya, pendirian itu turut dapat dilihat menerusi sokongan perwakilan UMNO terhadap agenda penyatuan ummah dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, termasuk cadangan supaya semua pihak digalakkan menyertai himpunan berkaitan agenda tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat sebab mengapa UMNO dan PAS perlu menggerakkan usaha itu terlebih dahulu.
“Kita nak menunjukkan di luar sana, kalau UMNO dan PAS pun, dua parti besar orang Melayu Islam, boleh meletak ke tepi ego untuk agenda penyatuan orang Melayu, apatah lagi parti-parti lain? Apatah lagi parti-parti baru?” katanya.
Menurutnya, langkah itu bukan bertujuan memberikan hak milik atau ‘ownership’ kepada UMNO dan PAS terhadap agenda penyatuan Melayu, apatah lagi untuk mendominasi usaha berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata kerjasama dua parti berkenaan perlu dilihat sebagai contoh bahawa perbezaan pandangan boleh diketepikan demi agenda yang lebih besar.
“Kita nak menunjukkan bahawa kalau dua parti terbesar ini boleh meletak tepi segala perbezaan pandangan, bekerjasama untuk agenda penyatuan orang Melayu, apa tak lagi parti-parti lain,” katanya.
Kahirul Azman turut menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menyatakan agenda penyatuan ummah hanya terbuka kepada UMNO dan PAS.
“Tak pernah kita mengatakan soalan-soalan ini eksklusif kepada UMNO-PAS. Tak pernah keluar daripada mana-mana mulut pemimpin, malah presiden ataupun mana-mana pemimpin,” katanya.
Sebaliknya, katanya, UMNO berpandangan agenda tersebut perlu terlebih dahulu digerakkan oleh dua parti terbesar sebelum usaha berkenaan dapat diperluaskan kepada parti-parti lain.
“Kita bercakap soal agenda ini mestilah dilaksanakan dulu oleh dua parti terbesar, barulah benda ini boleh berjaya,” katanya.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.