EXCO Masih Sah, Ismail Tegaskan Pemecatan Tanpa Nasihat MB, Tidak Berkuat Kuasa

SEREMBAN | 21 Sep 26 – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa, susulan pembatalan pelantikan mereka oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Ismail berkata tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian EXCO tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan serta bercanggah dengan tafsiran beliau terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Beliau berkata Perkara 40(1) UUTKNS menetapkan Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran negeri.

Menurut Ismail, kuasa budi bicara Raja di bawah Perkara 40(2) pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis dan kuasa menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termasuk dalam perkara tersebut.

Beliau turut menegaskan Perkara 38(5) perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1), bukannya secara berasingan.

“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.

Ismail turut mendakwa beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO di bawah Perkara 38(5).

“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Istana Negeri Sembilan memaklumkan pembatalan pelantikan kesemua EXCO berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas kesemua EXCO terbabit didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.

Istana turut meminta Menteri Besar mengemukakan senarai calon EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz.

Perkembangan terbaharu ini mewujudkan pertikaian terbuka mengenai tafsiran Perkara 38(5) UUTKNS serta sempadan kuasa Raja dan Menteri Besar dalam menentukan kedudukan EXCO.

Beberapa pandangan perundangan yang dilaporkan media hari ini turut memberikan tafsiran bahawa Perkara 38(5) perlu dibaca bersama Perkara 38(4), namun persoalan mengenai keabsahan tindakan berkenaan masih merupakan isu perundangan yang boleh diputuskan melalui proses mahkamah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share