“Jangan Samakan Hak Melayu Dengan Prasangka Kaum” – PERKASA

KUALA LUMPUR | 23 Sep 26 – “Prasangka kaum” tidak seharusnya menjadi label untuk menutup tuntutan orang Melayu terhadap hak ekonomi dan sosial mereka.

Itu pendirian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara besar sekiranya rakyat terus terperangkap dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit.

Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor, berkata hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disamakan dengan prasangka kaum.

“Isu prasangka kaum tidak boleh dijadikan alasan atau retorik untuk meredakan suara majoriti atau mengetepikan agenda ketuanan Melayu dan Islam di bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Azrol, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain merupakan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mempertikaikan kecenderungan melabelkan keluhan atau perjuangan orang Melayu berkaitan hak ekonomi dan sosial sebagai cauvinisme atau rasisme.

“Malaysia hanya akan menjadi sebuah negara yang benar-benar besar dan disegani apabila jurang ekonomi antara kaum ditangani secara telus, bukan dengan melabelkan ketidakpuasan hati rakyat sebagai cauvinisme atau rasisme,” katanya.

PERKASA, katanya, tetap menyokong keharmonian kaum, namun menegaskan keharmonian tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan hak Bumiputera.

Azrol pada masa sama menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup serta pengagihan kekayaan negara secara adil.

Kenyataan PERKASA itu hadir ketika isu hubungan antara keharmonian kaum, hak perlembagaan dan jurang ekonomi terus menjadi sebahagian daripada perbahasan awam.

Anwar sebelum ini menegaskan kepentingan rakyat keluar daripada prasangka kaum dan perbezaan yang sempit, selain mempertahankan hak setiap rakyat serta menghormati bahasa, budaya dan agama dalam masyarakat berbilang kaum. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share