
KUALA LUMPUR | 24 Sept 26 – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mencadangkan pembatalan pendaftarannya, selain perintah penggantungan semua kegiatan parti berkenaan sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata notis itu dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, dengan PN diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan tunjuk sebab berhubung cadangan pembatalan tersebut.
Menurutnya, cadangan pembatalan itu berkait dengan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap PN berhubung suatu mesyuarat pada 16 Julai 2026.
“PN juga susulan dari Notis di atas telah menerima suatu Perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata kedua-dua notis dan perintah itu diserahkan kepada PN masing-masing pada 22 dan 23 September 2026.
Beliau berkata tarikh tersebut kebetulan sama dengan hari pengumuman serta kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat.
PN, katanya, mengambil maklum keputusan ROS itu namun tidak bersetuju dengan asas keputusan berkenaan dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya.
Bagaimanapun, Takiyuddin tidak menghuraikan dalam kenyataan itu asas yang digunakan PN bagi mendakwa wujudnya agenda mala fide atau tekanan politik berkenaan.
Sehubungan itu, PN menyeru ahli dan penyokongnya supaya bertenang kerana perkara tersebut sedang diuruskan, selain berjanji memberikan maklumat serta dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus.
Dalam masa sama, PN memaklumkan perkembangan mengenai perkara itu akan disampaikan dari semasa ke semasa.
Takiyuddin turut mengumumkan perintah larangan (gag order) berkuat kuasa serta-merta terhadap mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan bagi pihak PN.
Menurutnya, hanya Pengerusi dan Setiausaha Agung PN dibenarkan mengeluarkan kenyataan bagi pihak gabungan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.