Jawatan Ada Penghujung, Khidmat Kepada Rakyat Tak Bernoktah, Kata Dr Yadzil

MELAKA | 23 Sep 26 – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bukan noktah kepada khidmat Dr Mohd Yadzil Yaakub di Bemban, dengan bekas ADUN kawasan itu memberi isyarat akan terus bersama rakyat walaupun penggal perkhidmatannya secara rasmi berakhir.

Yadzil berkata jawatan sebagai wakil rakyat mungkin mempunyai penghujung, namun khidmat kepada rakyat tidak seharusnya terhenti.

“Jawatan mungkin ada penghujungnya. Tetapi bagi saya, khidmat kepada rakyat tidak seharusnya mempunyai noktah.

“Bemban tetap di hati. Melaka tetap di jiwa. Rakyat tetap menjadi amanah,” katanya dalam kenyataan selepas DUN Melaka dibubarkan.

Menurut Yadzil, menjadi wakil rakyat merupakan satu amanah besar kerana di sebalik jawatan tersebut terdapat rakyat yang mengharapkan perhatian, bantuan dan pembelaan.

Beliau turut mengakui sebagai ADUN pembangkang, terdapat kekangan dari segi peranan, bidang kuasa, peruntukan dan ruang untuk melaksanakan sesuatu secara langsung.

Namun, katanya, kekangan tersebut tidak pernah dijadikan alasan untuk berhenti berusaha.

“Kalau pintu besar tertutup, kita cari jendela. Kalau jalan lurus terhalang, kita cari jalan lain.

“Kerana bagi saya, menjadi pembangkang bukan bermaksud menjadi musuh kepada rakyat.

“Saya mungkin berbeza dalam politik, tetapi rakyat tetap rakyat saya. Masalah rakyat tetap masalah saya, dan Melaka tetap negeri yang saya cintai,” katanya.

Yadzil turut memohon maaf kepada rakyat Bemban atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata mungkin terdapat permintaan rakyat yang belum dapat ditunaikan, termasuk mereka yang pernah menunggu kehadirannya namun tidak sempat ditemui.

Dalam pada itu, Yadzil menyorot tekanan kos sara hidup yang menurutnya terus dirasai sebahagian keluarga, termasuk keperluan membesarkan anak, pendidikan, perumahan dan kesihatan.

Beliau berharap rakyat Melaka terus matang dalam menghadapi perbezaan politik.

“Berbeza pandangan, tetapi jangan bermusuh. Berbeza pilihan, tetapi jangan memutuskan persaudaraan.

“Kita mungkin tidak selalu sependapat dalam politik, tetapi kita tetap berkongsi tanah yang sama, langit yang sama dan masa depan yang sama,” katanya.

Yadzil turut menyatakan harapan agar pembangunan Melaka bukan hanya diukur melalui angka dan pembangunan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira kualiti hidup rakyat, pendidikan anak-anak, kesejahteraan keluarga dan masa depan generasi muda.

“Insya-Allah, selagi diberikan kesempatan, saya akan terus berada bersama mereka untuk merasai kesusahan itu, mendengar keluhan mereka dan mencari jalan untuk meringankan beban mereka,” katanya.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Sebanyak 28 kerusi dipertandingkan yang mana, ketika ini UMNO BN menguasai 21 kerusi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share