Ekuiti Bumiputera 30% Digugur: DPMM Persoal Apa Mekanisme Penggantinya?

KUALA LUMPUR | 24 Sep 26 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mempersoalkan keputusan untuk tidak lagi menetapkan syarat minimum 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera bagi sesetengah institusi pendidikan swasta (IPS), khususnya ketika agenda peningkatan pemilikan ekonomi Bumiputera masih belum selesai.

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, persoalan utama bukan semata-mata mengenai angka 30 peratus, tetapi apakah mekanisme alternatif yang akan memastikan penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam sektor berkenaan tidak terus terhakis.

Menurut beliau, jika kerajaan berpandangan mekanisme 30 peratus tidak lagi sesuai, satu pendekatan baharu yang lebih berkesan, telus dan boleh diukur perlu diperjelaskan.

DPMM turut merujuk data PuTERA35 yang merekodkan pemilikan ekuiti Bumiputera oleh individu dan agensi yang diberi mandat pada kadar 18.4 peratus pada 2020, dengan sasaran mencapai 30 peratus menjelang 2035.

“Kerajaan pada masa sama mahu meningkatkan pemilikan dan kawalan Bumiputera, namun satu mekanisme penyertaan ekuiti pula digugurkan tanpa penjelasan yang mencukupi mengenai penggantinya,” katanya.

DPMM menegaskan keterbukaan pasaran dan penyertaan Bumiputera tidak semestinya bercanggah, namun sebarang perubahan dasar perlu disertai mekanisme yang jelas bagi memastikan matlamat penyertaan ekonomi Bumiputera terus dicapai.

Sehubungan itu, DPMM meminta kerajaan menjelaskan skop sebenar IPS yang terlibat, tarikh kuat kuasa, asas data serta penilaian impak keputusan berkenaan, selain mekanisme alternatif yang akan digunakan.

DPMM turut mengambil maklum terdapat perbezaan penjelasan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai perkara itu dan menggesa penyelarasan dasar antara kementerian diperjelaskan.

Bagi DPMM, isu ini lebih besar daripada syarat 30 peratus semata-mata kerana ia menyentuh soal konsistensi dasar, tadbir urus dalam membuat keputusan serta hala tuju agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

DPMM menyatakan kesediaan untuk berunding dengan KPM, Kementerian Ekonomi, MITI serta agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan memastikan dasar yang diputuskan mempunyai hala tuju yang jelas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share