
AYER KEROH | 25 Sep 26 – Pengerusi Parti Wawasan Negara, Tan Sri Rais Yatim, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Rais, 84, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut ketika satu majlis di Parkroyal A’Famosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 1 petang pada 5 Jun lalu.
Pertuduhan itu berkaitan kenyataan Rais yang mendoakan keselamatan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Rais didakwa berkata, “Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12 melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.”
Beliau turut berkata, “Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan.”
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum berdasarkan Subseksyen 4(1) akta sama dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Rais yang diwakili lima peguam termasuk anaknya, Danni Rais, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan beliau memberikan kerjasama dan hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan mengenai prosiding itu pada malam sebelumnya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Rais sebelum ini turut menjadi antara individu yang lantang menyuarakan pandangan berhubung kemelut institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada Julai lalu, dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan kepada Rais turut ditarik balik berkuat kuasa serta-merta atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.