“Peletakan Jawatan Saya Berkuat Kuasa Bila Najib Balik Rumah” – Anthony Loke

KUALA LUMPUR | 29 Sep 26 – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Loke akan terus menjalankan tugas buat sementara waktu dengan peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa pada hari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan pulang ke rumah bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Loke berkata surat peletakan jawatan itu diserahkan secara tangan kepada Anwar dalam pertemuan mereka semalam.

Menurutnya, Anwar menasihatkan beliau supaya meneruskan tugas buat sementara waktu dan akan membuat keputusan berhubung peletakan jawatan tersebut.

Namun, Loke berkata beliau menetapkan tempoh yang jelas bagi peletakan jawatan itu berkuat kuasa.

“Jadi, tempoh masa itu ialah pada hari Najib balik rumah maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Minggu Maritim Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Loke berkata beliau sendiri tidak mengetahui bila Najib akan dibenarkan keluar dari penjara untuk menjalani tahanan rumah.

“Kita pun tidak tahu bila beliau (Najib) akan keluar. Mungkin esok, mana kita tahu. Saya pun tidak tahu bila beliau akan keluar,” katanya.

Menurut Loke, keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat berdasarkan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan isu tahanan rumah Najib.

Beliau berkata peletakan jawatan itu merupakan tindakan beliau selaku Setiausaha Agung DAP untuk menegaskan pendirian parti berhubung perkara tersebut.

“Keputusan parti di atas respons dan juga pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak setuju.

“Jadi apa tindakan kita dari segi pendirian kita? Iaitu saya selaku setiausaha meletakkan jawatan untuk menegaskan pendirian parti dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata setakat ini belum ada keputusan mengenai pengganti bagi jawatan Menteri Pengangkutan selepas beliau berundur.

“Belum ada pengganti lagi. Itu belum diputuskan,” katanya.

Loke sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan jawatan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September. Dalam keputusan tersebut, Loke mengambil tanggungjawab untuk berundur sebagai anggota Kabinet, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain akan kekal dalam kerajaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share