
KUALA LUMPUR | 26 Sep 26 – “Yang bertanding manusia, bukan bendera.” Itu sindiran Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid terhadap tindakan penggantungan Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan bahawa hak mengundi dan maruah rakyat tidak boleh dihalang.
Menurut Rafique, tindakan menggantung PN tidak akan menyebabkan rakyat melupakan kesusahan hidup yang mereka hadapi.
“Bijak sungguh mereka hari ini. Bila nampak bayang-bayang bakal kalah, mereka gantung,” katanya.
“Mungkin mereka fikir, bila bendera tak ada, rakyat tiba-tiba jadi rabun dan terus lupa segala kesusahan hidup,” katanya.
Rafique turut menyindir pihak yang terlibat dengan tindakan itu dengan berkata mereka mungkin menyangka akal fikiran rakyat juga boleh digantung.
“Mereka ingat boleh gantung sekali akal fikiran rakyat,” katanya.
Menurut beliau, penggantungan nama atau simbol politik tidak bermakna hak rakyat untuk membuat pilihan pada pilihan raya turut boleh disekat.
“Yang digantung itu cuma nama, tetapi hak mengundi dan maruah rakyat untuk selamatkan negara tidak boleh digari,” katanya merujuk kepada notis tunjuk sebab ROS bertarikh 22 September yang memberi PN tempoh 30 hari untuk mengemukakan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
RoS kemudian mengeluarkan perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, dengan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 September. RoS turut menjelaskan bahawa notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan itu menjawab aduan berkenaan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan menyekat atau menekan rakyat hanya akan menguatkan keinginan mereka untuk keluar mengundi.
“Teruskanlah menganiaya. Lagi kuat kamu sekat lagi kuat rakyat mahu turun ke peti undi,” katanya.
Rafique kemudian menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada pihak yang menurutnya menjadi mangsa tindakan tersebut.
“Pangkah sahaja mereka yang dizalimi,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa pilihan raya ditentukan oleh calon dan manusia yang bertanding, bukan semata-mata simbol atau bendera parti.
“Yang bertanding manusia bukan bendera,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.