Pelucutan EXCO Oleh Yang Dertuan Besar Sah Jika Kedudukan Tuanku Muhriz Sah — Haniff Khatri

KUALA LUMPUR | 27 Sep 26 – Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berpandangan pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan adalah sah sekiranya kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah tidak dipertikaikan.

Menurut Haniff, Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa seseorang Exco, selain Menteri Besar, memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar. Peruntukan itu turut menjadi asas kepada pembatalan pelantikan 10 Exco yang berkuat kuasa pada 20 September lalu.

Haniff berkata terdapat tiga keadaan berkaitan penamatan jawatan Exco, iaitu apabila Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan, apabila Menteri Besar menasihatkan supaya seseorang Exco dibuang dan apabila Exco sendiri meletakkan jawatan.

“Jadi tiga cara ini adalah bebas daripada masing-masing,” katanya kepada Politiko semalam.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Besar yang sah boleh pada bila-bila masa membatalkan pelantikan mana-mana Exco, dengan kedudukan Menteri Besar tertakluk kepada peruntukan berbeza.

“Pokoknya sah selagi kedudukan dia sebagai Yang Dipertuan Besar itu sah. Itu soalan lebih asas,” katanya.

Haniff berkata persoalan mengenai kesahan kedudukan Tuanku Muhriz perlu dibezakan daripada persoalan mengenai kuasa membatalkan pelantikan Exco.

“Kalau Tuanku Muhriz bukannya Yang Dipertuan yang sah, maka bukan sahaja dia tak boleh buang Exco, dia patut tidak diangkat sumpah pun depan dia Menteri Besar ataupun Exco,” katanya.

Beliau berkata persoalan sama turut memberi kesan kepada isu-isu lain yang berkaitan dengan kedudukan institusi berkenaan, termasuk pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar serta Exco.

Dalam pada itu, Haniff berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan pandangan Peguam Negara berhubung kesahihan pembatalan pelantikan Exco, kerana menurutnya isu itu adalah persoalan tafsiran undang-undang terhadap peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saya tak ada masalah dengan pandangan AG yang ni,” katanya.

Bagaimanapun, Haniff membezakan pandangan itu dengan pandangan terdahulu Peguam Negara berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Katanya, Peguam Negara boleh memberikan pandangan mengenai isu tersebut, tetapi pandangan berkenaan tidak semestinya mengikat dalam urusan yang menyentuh institusi diraja negeri.

“Dia boleh bagi pandangan peribadi sebab kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara Persekutuan tidak boleh masuk campur dengan urusan diraja negeri masing-masing,” katanya.

Haniff menegaskan kedua-dua perkara itu tidak seharusnya dicampuradukkan.

Menurut beliau, isu pertama ialah soal kedudukan Yang di-Pertuan Besar, manakala isu kedua ialah tafsiran undang-undang mengenai bagaimana seseorang Exco boleh dilucutkan jawatan.

“Yang ni (kesahihan pelucutan Exco) dia betul. Sebab ini bukan isu diraja, ini isu tafsiran undang-undang, yakni Undang-Undang Tubuh berkaitan perlembagaan macam mana seorang Menteri atau Exco boleh dibuang,” katanya.

“Dua perkara yang berbeza. Jangan pula ada orang kata, kenapa yang tu dia tak ada hak cakap, yang ni dia ada hak cakap sebab itu pasal diraja, ini pasal perjawatan dan Exco,” katanya.

Baru-baru ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menyatakan bahawa pelucutan jawatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan adalah sah di sisi undang-undang negeri.

Dusuki berkata pelucutan jawatan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sudah berkuat kuasa pada 20 September lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share