
KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kejayaan calon Barisan Nasional (BN) di PRK Ayer Kuning menyucikan imej Umno dan DAP yang dikenali sebagai Umdap.
Kemenangan itu bagaimanapun katanya tidak memberikan kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Sifat perubahan dalam arus politik menjadi tabii alam dan dinamik dalam politik, termasuk ke arah yang tidak istiqamah bersama Islam.
“Kejayaan calon Umdap bersama PH dalam PRK Ayer Kuning ialah hasil kejayaan Umno menubuhkan Umdap yang mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka, termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan PH dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam,” kata Hadi, di media sosialnya.
Hadi mendakwa, Umdap membawa sebahagian daripada Umno menjadikan matlamat menghalalkan cara (the end justifies the means) mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal.
“Di samping itu, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan menteri besar, exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah.
“Sebaliknya, mereka memilih lawan untuk diseret ke mahkamah dalam kes yang nyata dan belum nyata, termasuk kes yang sengaja diciptakan terhadap sesiapa sahaja yang melawan,” katanya. @politiko.my