
PARLIMEN | 7 Okt 26 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan peranan UNHCR dalam mengeluarkan kad kepada pelarian di Malaysia, sambil menegaskan isu sebenar bukan mengenai penghantaran pulang rakyat Rohingya tetapi kuasa menentukan identiti dan status mereka di negara ini.
Ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Hamzah berkata individu yang dihantar pulang sebenarnya terdiri daripada mereka yang ditahan kerana melakukan kesalahan dan melalui proses deportasi, bukannya rakyat Rohingya.
“Sebenarnya yang dihantar balik itu bukan Rohingya. Dihantar balik itu adalah mereka yang ditahan mempunyai kesalahan-kesalahan yang memang kena bawa balik. Deportation yang sebenarnya,” katanya.
Menurut Hamzah, berdasarkan rekod yang dikesannya setakat ini, belum terdapat rakyat Rohingya yang dibawa pulang dari Malaysia.
Beliau berkata persoalan yang lebih besar ialah kedudukan pelarian Rohingya dan rakyat Myanmar lain yang berada di Malaysia menggunakan kad UNHCR.
“Isu sebenarnya adalah pengeluaran kad UNHCR terhadap refugis yang ada di Malaysia,” katanya.
Hamzah turut menyambut pengumuman Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai penggunaan sistem DPP bagi menentukan identiti individu berkenaan, namun mempersoalkan sama ada kerajaan turut mengambil kira kedudukan UNHCR yang masih beroperasi dan mengeluarkan kad pelarian di Malaysia.
“Bagaimana caranya untuk kita tidak membenarkan UNHCR untuk mengeluarkan kad tetapi KDN yang mengeluarkan kad atau kerajaan Malaysia yang mengeluarkan kad supaya isu ini tidak nanti disalah faham,” katanya.
Beliau berkata langkah itu penting supaya urusan berkaitan identiti dan status pelarian dapat ditentukan oleh kerajaan Malaysia sendiri.
Menjawab persoalan tersebut, Perdana Menteri berkata isu UNHCR merupakan perkara legasi kerana badan itu dibawa masuk secara rasmi oleh kerajaan pada ketika terdahulu.
Katanya, sebarang usaha untuk mengubah keadaan tersebut memerlukan masa dan proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan Malaysia tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa.
Bagaimanapun, Perdana Menteri bersetuju bahawa urusan menentukan siapa yang layak berada di Malaysia perlu dikendalikan oleh jentera negara sendiri.
“Saya setuju dengan Larut bahawa sebenarnya tindakan keputusan harus tegas diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri. Tidak diatur oleh pegawai dari luar dan mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak. Yang itu saya setuju,” katanya.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa isu membabitkan rakyat Myanmar bukan hanya melibatkan etnik Rohingya, sebaliknya turut merangkumi Chin, Arakan, Kachin, Mon, Karen, Shan dan etnik lain yang berada di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan kini mengambil pendekatan menyelesaikan isu tersebut secara berperingkat, termasuk melalui rundingan dan hubungan ASEAN.
Katanya, isu berkenaan perlu ditangani kerana jika dibiarkan, ia boleh berkembang menjadi persoalan keselamatan yang lebih serius dalam kalangan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.