Pan Borneo: RM24.89 Bilion, 10 Tahun Baru 11% — MP Kota Belud

PARLIMEN | 8 Okt 26 — Hampir RM25 bilion dibelanjakan, 10 tahun berlalu tetapi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah hanya mencapai kemajuan 11 peratus.

Angka itu mencetuskan persoalan keras Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, yang kecewa apabila pelbagai kelemahan projek telah ditegur dalam laporan audit tetapi masalah sama masih berlarutan.

“Projek bernilai hampir RM25 bilion. RM24.89 bilion mengalami pelbagai masalah dan jelas kelemahan dari peringkat awal dan dibiarkan berlarutan. Mengakibatkan projek ini hanya siap 11 peratus walaupun telah 10 tahun berlalu,” katanya di Dewan Rakyat.

Lebih mengecewakan, katanya, dua kali laporan audit telah memberikan teguran, namun beliau mempersoalkan mengapa tindakan dan siasatan menyeluruh masih belum kelihatan.

“Kenapa tiada tindakan? Sampai bila tiada siasatan menyeluruh, sampai bila penguatkuasa akan terus berdiam dan tidak bertindak?” soalnya.

Isnaraissah turut menolak alasan bahawa pembatalan Rakan Pelaksana Projek (PDP) menjadi punca utama kelewatan projek berkenaan.

Sebaliknya, katanya, Laporan Ketua Audit Negara mengenal pasti kelemahan perancangan penyediaan tapak, kelemahan pelaksanaan projek, kelemahan kontraktor dan perunding, perubahan reka bentuk serta masalah pengalihan utiliti sebagai antara punca kelewatan.

“Penamatan PDP tiada dalam kategori punca utama. Malah dalam senarai punca kelewatan yang disebutkan oleh Ketua Audit Negara pun tidak disebut,” katanya.

Menurut beliau, masalah yang sama juga masih berlaku dalam Fasa 1B, termasuk isu pengambilan dan penilaian tanah serta pengalihan utiliti.

“Kenapa saya tekankan mengenai isu penamatan PDP ini? Kerana kerajaan, tidak kisahlah kerajaan federal atau kerajaan negeri, apabila ditanya, cari dahulu salah kerajaan yang dahulu. Itulah yang diutamakan berbanding cari jalan penyelesaian,” katanya.

Isnaraissah kemudian membangkitkan persoalan pengurusan tanah apabila SST dikeluarkan sebelum tanah diambil dan dikosongkan, menyebabkan ribuan struktur masih belum dirobohkan walaupun kerja projek telah berjalan antara 13 hingga 15 bulan.

Lebih mengejutkan, katanya, hanya tujuh pegawai penilai Jabatan Tanah dan Ukur ditugaskan menguruskan koridor sepanjang 706 kilometer.

“Jadi maksudnya apa? Tujuh orang, satu pegawai itu kena suruh ukur 100 kilometer satu orang,” katanya.

Beliau berkata masalah kekurangan tenaga penilai itu hanya ditangani kemudian apabila 12 firma jurunilai swasta dilantik pada Disember tahun lalu.

Isnaraissah turut membangkitkan isu pengalihan utiliti bawah tanah yang menurutnya menjadi antara masalah utama kelewatan projek.

Berdasarkan laporan audit, katanya, sebanyak 24 lanjutan masa (EOT) diberikan membabitkan 7,994 hari.

“Kalau kita sudah tahu projek itu besar dan akan dilaksanakan di Sabah, jangan kasi jadi alasan pegawai penilai tidak cukup, jurutera tidak cukup. Kalau sudah tahu dari awal, kita kasi selesai, kita cari jalan penyelesaian,” katanya.

Bagi Isnaraissah, masalah yang telah dikenal pasti sejak awal tidak sepatutnya terus dijadikan bahan untuk saling menuding kesalahan politik.

“Sepatutnya daripada bersusah payah mencari alasan untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik, sepatutnya isu-isu ini dari awal kita cari jalan, kasi selesai,” katanya.

Beliau turut menegaskan rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan lebih menyeluruh mengenai projek berbilion ringgit itu, sambil menyifatkan tempoh lima minit diberikan untuk membahaskan satu isu sebesar LPB Sabah sebagai tidak mencukupi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share