
KUALA LUMPUR | 9 Okt 26– Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mendesak Indonesia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan dikenakan denda bagi setiap individu di Malaysia yang terkesan akibat jerebu rentas sempadan yang berulang selama berdekad-dekad.
Beliau berkata tidak dapat menerima jawapan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung jerebu yang melanda Malaysia, malah menyifatkan masalah berpanjangan itu sebagai satu jenayah kemanusiaan.
“Jerebu yang sudah berdekad kita alami sudah menjadi satu jenayah kemanusiaan,” katanya.
Desakan itu hadir ketika Prabowo sendiri berdepan tindakan saman di Indonesia berhubung pengendalian kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu.
Menurut laporan Malay Mail pada 7 Oktober 2026, empat plaintif memfailkan saman tindakan kelas terhadap Prabowo dan sembilan lagi defendan, termasuk pegawai kerajaan serta pihak berkuasa wilayah, di mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat.
Laporan Reuters bertarikh 7 Oktober 2026 turut menyebut prosiding awal kes berkenaan ditangguhkan ke 21 Oktober selepas pihak defendan tidak hadir pada pendengaran di Pontianak.
Dalam konteks Malaysia, gesaan Ahmad Murad membuka semula persoalan mengenai pertanggungjawaban rentas sempadan apabila kebakaran di negara jiran menyebabkan pencemaran udara turut menjejaskan negara ini.
Jerebu yang melanda negara menyebabkan sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup, selain sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Di Johor sahaja, sebanyak 1,198 sekolah melibatkan lebih 617,000 murid dilaporkan terjejas. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.